My Blog

Tentang Awak&Kite…NurCinta Kami…

Zaman

Seingat saya, barang pertama yang saya beli hasil usaha simpanan sedikit demi sedikit  wang daripada belanja sekolah ialah sepasang kasut bola sepak. Saya berusia 14 tahun ketika itu. Setiap hari bermain bola bersama rakan-rakan hanya berkaki ayam, sedangkan ada sesetengah rakan yang lain telah mempunyai kasut bola sepak berjenama. Ketika itu, kasut bola sepak yang menjadi kegilaan di kalangan kami, bahkan dikalangan remaja-remaja yang lain adalah jenama NIKE. Sangat, sangat dan sangatlah beruntung andai dapat memilikinya. Saya memandang keadaan diri sendiri. Saya bukanlah dari keturunan keluarga yang kaya. Untuk memiliki kasut jenama NIKE, bolehlah saya ibaratkan seperti “jauh panggang dari api”. Namun begitu, saya tetap mengumpul simpanan sedikit demi sedikit dan akhirnya mampu juga membeli sepasang kasut bola berjenama NIKE oppss bukan NIKE tapi PUMA. Harganya dalam lingkungan rm100. Kira oklah tu, jenama PUMA, daripada terus berkaki ayam. Apabila telah memiliki kasut, semestinya mesti ada stokinnya, beli kat pasar malam je sudah….

Sayangnya, kasut tersebut entah kemana sekarang..

Saya tidak pasti, adakah saya dan isteri sedang memewahkan anak-anak kami sekarang. Apa sahaja yang mereka minta, sekiranya tidak membebankan, saya pasti akan membeli. Kenangan mengumpul duit sendiri untuk membeli kasut bola merupakan suatu kenangan yang sangat manis diingat. Alhamdulillah, kedudukan keluarga yang tidak berapa senang mengajar saya untuk membiasakan diri dengan situasi tersebut. Saya berfikir, dengan kehidupan yang senang, tidak melalui kesusahan untuk mendapatkan sesuatu adakah ia tidak akan memberi kenangan yang manis kepada anak-anak kami kelak. Ingin sahaja saya mengajar mereka supaya berusaha menyimpan sendiri duit sekiranya hendak membeli sesuatu yang mereka inginkan, namun melihatkan wajah mereka, tidak sampai hati untuk melihat mereka hidup susah.

Saya mula gila bola sepak ketika berusia 11 tahun. Seorang rakan bernama Faizal yang memperkenalkan bola sepak kepada saya. Setiap hari, dalam pukul 2.00 petang saya akan turun ke padang sekolah bermain bola sepak dengannya. Pukul 3.00 pulang ke rumah, pukul 3.30 pergi sekolah agama. Seingat saya, lebih kurang setiap hari keadaannya begitu. Menariknya, hanya kami berdua sahaja yang bermain bola sepak, saya menyepak bola kepada Faizal, Faizal menyepak semula kepada saya. Begitulah seterusnya, sampai pukul 3.00 petang, sekiranya bernasib baik, ada juga sekumpulan budak-budak India bermain bola, maka kami akan turut serta bermain bersama mereka. Pukul 2.00 petang sekarang tidaklah sama seperti dahulu, sekarang sekiranya jam menunjukkan 2.00 petang, jangan harap dapat bermain di padang, silap hari bulan esoknya boleh demam panas.

Begitulah kisah 20 tahun yang lampau.

Aktif bermain bola sehingga ke tingkatan 3. Kemuncaknya saya bersama rakan-rakan kelas telah menubuhkan team bola sepak sendiri iaitu “Agama F.C”. Setiap hujung minggu kami akan berkumpul dan bermain bola sepak bersama-sama. Yang pasti, memakai kasut bola kesayangan saya..

Masuk sahaja tingkatan 4, saya berpindah ke SMKA Segamat. Rakan-rakan yang lain pun turut mengikut haluan langkah masing-masing. Entah mengapa, bola sepak terus pudar daripada hidup saya seolah-olah saya tidak pernah mengenali apa itu bola sepak. Dunia saya adalah mendekatkan diri kepada Allah S.W.T di samping berusaha menjalankan aktiviti dakwah di dalam sekolah. No seluar pendek lagi, personaliti sekarang adalah memakai serban dan jubah ke mana-mana. No lagi nama-nama seperti David Beckham dan Cantona, sekarang adalah zaman untuk menyebut nama Hassan al-bana, Syed Qutb dan Nik Aziz.  Tahun-tahun inilah, saya rasa diri ini terasa dekat sangat dengan Tuhan. Itu takdir ketentuan Tuhan.

Sekarang, apabila terserempak dengan rakan-rakan sekelas di tingkatan 1-3, Sekolah Tinggi Segamat. Mereka menyapa, nanti sekiranya bertemu kembali dengan rakan-rakan yang lain, bolehlah kembali bermain bola bersama-sama semula. Mintak maaflah, saya rasa kaki saya ini telahpun menjadi kaki bangku.

Zaman Universiti, saya mula mengenali sukan sepak takraw. Ketika menginap di Kolej 5, Universiti Malaya hampir setiap hari saya bermain sepak takraw bersama rakan-rakan di court kolej 12. Bermain suka-suka sahaja, tidak pernah pun terpilih untuk mewakili Kolej dalam pertandingan Universiti. Ia merupakan kenangan manis dan menjadi lebih manis ketika saya bermain takraw, isteri mengintai dari tingkat atas kolej 12 melihat saya bermain yang secara kebetulan beliau menginap di kolej 12.Biasalah, apabila si buah hati melihat kita bermain, mulalah bermain bersungguh-sungguh mengalahkan atlet negara..hi..hi..hi…

Entah mengapa, kebanyakan artikel saya mengisahkan tentang kisah lampau. Mungkin kerana terpengaruh dengan subjek yang saya ceburi sekarang iaitu Sejarah Malaysia. Sesetengah individu mengatakan, zaman sekolahlah zaman yang paling manis dalam kehidupan mereka. Ada sesetengah yang lain mengatakan zaman universiti adalah zaman yang paling manis. Bagi saya, semua zaman tersebut adalah manis, mengajar saya erti kehidupan. Zaman yang saya sedang lalui sekarang juga adalah suatu zaman yang manis, melalui kehidupan bersama isteri membesarkan anak-anak. Saya melihat kehidupan saya yang lampau seperti suatu yang telah ditakdirkan. Sesetengah perkara yang berlaku seperti tidak dapat dijangka. Saya tidak pernah menyangka yang saya akan memakai serban, berjubah, menjalankan aktiviti dakwah, usrah dan lain-lain setahun sebelumnya ketika saya berada di tingkatan 3. Bahkan, mak dan ayah turut terkejut dengan perubahan saya. Begitulah perkara tidak dijangka dan tidak mustahil sesuatu yang akan berlaku di masa hadapan juga adalah sesuatu yang tidak dijangka.

Semalam, saya dan isteri berselisih faham. Puncanya kerana saya tidak bangun bersolat sunat awal pagi walaupun isteri telah mengejutkan saya beberapa kali. Hakikatnya, saya perlu belajar untuk berlapang dada dalam setiap hal. Adakala teguran dari Allah S.W.T itu datangnya manusia. Allah S.W.T menegur saya melalui isteri, namun oleh kerana saya merasakan ianya datang dari isteri, maka saya ambil endah tentang perkara tersebut seolah-olah saya mengambil endah teguran dari Allah S.W.T. Isteri saya juga pernah menyebut ketika mana kami mengabaikan anak sulong belajar al-Quran dan doa-doa, Allah S.W.T telah membuat teguran melalui adik ipar saya. Mohd hairulhazan, cubalah belajar untuk berlapang dada….

Hari ini adalah Hari Guru. Untuk isteri, Siti Syadatul Azura, saya Mohd Hairulhazan mengucapkan selamat hari Guru. Pahalanya sangat besar menjadi guru. Saya yakin, dengan ilmu yang saya ada sekarang, saya amal dan ajarkan kepada orang lain, pahalanya tetap akan dirasai oleh guru-guru yang mengajar saya suatu ketika dahulu. Kenangan tentang guru, tentunya terhadap Ustazah Becik yang pernah menghukum saya berjalan itik satu sekolah kerana kerap tidak hadir ke sekolah. Malu sey….dan perkara tersebutlh yang selalu mak saya ulang cerita apabila saya pulang ke kampung. Isteri pula asyik mengelakkan saya sahaja apabila mendengar cerita tersebut. Selamatlah tiada sesiapa yang rakam peristiwa tersebut, kalau ada, dah tentu sudah ditayangkan di youtube..habislah jatuh reputasi saya..hahahaha….Saya tidak tahu apa yang berada difikiran ustazah tersebut semasa menghukum saya..adakah hukuman tersebut dilakukan kerana nak menginsakan saya atau terbawa-bawa dengan sifat marah atau sengaja mahu memalukan saya di hadapan semua orang. Tidak mengapalah, Zaman itu sudahpun berlalu, ustazah Becik juga telah kembali mengadap ilahi, dan saya tidak menyimpan sebarang dendam.

Single Post Navigation

One thought on “Zaman

  1. hairul2801 on said:

    Hairul.. Cerita ini membuatkan Syadatul tergelak besar&menangis..
    Terima Kasih~

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: