My Blog

Tentang Awak&Kite…NurCinta Kami…

Anak kecil

Bukan mudah untuk melaksanakan ibadah puasa, menahan lapar dan dahaga lebih-lebih bagi kanak-kanak kecil seusia Khadiijah Wafi. Jangankan cakap budak kecil, adakala orang tua pun sama juga dari pagi hingga ke petang asyik mengira waktu sahaja, menghitung baki jam dan minit yang ada menuggu waktu berbuka. Bukan mudah bukan untuk melaksanakan ibadah kepada Allah s.w.t. Walaupun pada hakikatnya semua ibadah yang diwajibkan tersebut akhirnya memberi manfaat kepada manusia itu sendiri. Lihatlah, berapa banyak kajian yang dilakukan terhadap ibadah solat dari sudut saintifik dan spiritual yang memberi manfaat kepada manusia, namun masih ramai lagi umat Islam yang meninggalkannya.

Puasa, menahan rasa lapar dan dahaga sememangnya suatu yang benar-benar sukar, rasa tidak seronok, namun bagaimana kami hendak mengajar anak-anak khususnya Khadiijah Wafi agar dia tidak rasa sebegitu. Terus terang, saya tidak mahu Khadiijah Wafi rasa bahawa ibadah yang diwajibkan di dalam Islam itu sesuatu yang menyusahkan dan membebankan. Saya tidak mahu ia menjadi sesuatu yang membebankan.

Di waktu kecil, saya merasa tidak seronok sangat apabila bertemu bulan Ramadhan. Setiap hari menghitung hari dan jam untuk menghabiskan sisa-sisa puasa dan berasa sangat tidak sabar untuk bertemu bulan Syawal. Bagitulah zaman kanak-kanak, puncanya kerana saya merasakan puasa tersebut itu sesuatu yang membebankan, tidak seronok, lapar, dahaga, tidak boleh aktif bermain dan lain-lain.

Masa telah berubah dan saya tidak mahu anak-anak saya rasa sebegitu dan saya melihat ada dua jalan penyelesaiannya.

Rukun Islam ada lima perkara dan puasa adalah rukun ketiga. Masalahnya bagi umat Islam di Malaysia adalah apabila tiba bulan Ramadhan, mereka menyuruh anak-anak berpuasa tetapi sebelum itu mereka tidak mula menerapkan dahulu rukun Islam yang pertama dan kedua ke dalam diri anak-anak mereka. Mungkin ada yang berkata, rukun Islam yang pertama (mengucap dua kalimah syahadah), anak-anak mereka semuanya telah diajar menuturkannya, memang benar, namun dari sudut penghayatannya adakah ibu bapa telah mengajarkannya kepada anak-anak. Soal perihal Allah s.w.t, kasih sayangnya itu semua termasuk di dalam penghayatan khalimah syahadah tersebut.

Dengan penghayatan tersebut, saya percaya ibadah puasa tidak akan menjadi bebanan kepada anak-anak untuk melaksanakan. Khadiijah Wafi bertanya kepada isteri, kenapa kita perlu berpuasa, maka isteri menjawab dengan pelbagai jawapan yang berkaitan dengan konsep ketuhanan seperti nanti Allah akan sayang kalau kita berpuasa, bila Allah sayang, Allah akan makbulkan semua doa Khadiijah Wafi, kalau tidak berpuasa, syaitan sayang dan menjadi kawan syaitan. Saya lihat itu sudah cukup membuatkan Khadiijah Wafi menjadi lebih kuat untuk menahan diri dari lapar dan dahaga. Tanpa sebarang sogokan seperti kalau berpuasa penuh, nanti walid dan ummi bagi duit yang banyak atau membelikan sesuatu yang disukainya dan Khadiijah Wafi pun tidak pernah meminta apa-apa balasan sekiranya dapat berpuasa penuh. Dan kami pun tidak mahu mengajar anak-anak kami sebegitu, cuma sekiranya ada rezeki lebih, kami berhajat untuk membelikan Khadiijah Wafi basikal baru bulan hadapan sebagai balasan kerana berpuasa penuh. Namun, kita tidak akan berkata begitu dihadapannya, sebaliknya cukuplah kami nyatakan bahawa Allah s.w.t sayang Khadiijah Wafi dan maknulkan doanya untuk mendapat basikal baru.

Sebagai seorang dewasa, apabila terasa lapar dan dahaga, apakah perkara yang dilakukan untuk menghilangkan perasaan tersebut. Bagi saya, saya suka menyibukkan diri dengan macam-macam perkara dan sedar tidak sedar masa berlalu dengan pantas. Benar, saya menulis blog ini sahaja, sedar tidak sedar sudah setengah jam masa berlalu. Begitu juga dengan anak-anak, 13 jam berpuasa akan menjadi lama bagi mereka, jika sekiranya setiap saat dan minit menunggu waktu untuk berbuka puasa. Oleh kerana itu, adalah menjadi tanggungjawab saya dan isteri untuk menyediakan banyak aktiviti untuk Khadiijah Wafi semasa berpuasa. Hari yang pertama, dia menolong saya mengecat tembok luar rumah, hari ini pula isteri melayan kreativiti art bersama-sama sambil dikacau oleh Aaminah Wafi. Saya lihat, Kahdiijah Wafi menjadi leka dan tiada sebutir habuk keluar dari mulutnya perkataan “kak long lapar, lambat lagi ke berbuka puasa dan lain-lain”. Maka saya tahu, Khadiijah Wafi masih mampu untuk meneruskan ibadah puasa hingga ke waktu berbuka.

Akhirnya, Saya dan isteri menyuruh Khadiijah Wafi berpuasa bukan kerana saya hendak berasa bangga nanti bila bertemu dengan saudara mara, apabila mereka bertanya Khadiijah Wafi berpuasa ke tahun ini dan dengan bangga saya menjawab “ya”. Dan bukan untuk berbangga membandingkan Khadiijah Wafi dengan sepupu-sepupunya yang lain. Tidak sama sekali.

Saya dan isteri menyuruh Khadiijah Wafi berpuasa dengan niat agar Khadiijah Wafi belajar sayang kepada agama Islam itu sendiri, sayangkan Allah s.w.t., sayangkan Nabi Muhammad s.a.w dan sanggup berkorban apa sahaja untuk kepentingan agama Islam.

Usia saya semakin meningkat, untuk kelangsungan kehidupan saya di sana kelak, selain amalan yang soleh, tiada lagi yang boleh saya bawa, kecuali doa anak-anak yang soleh dan solehah. Dan untuk tujuan tersebut, semuanya bermula dari diri kami sendiri.

Hari ini kami bercadang untuk berbuka di Masjid Bandar Sunway, semoga dipermudahkan segala urusan. Kelmarin, kami ke masjid Shah Alam, begitu ramai sekali umat Islam yang hadir berbuka puasa di masjid dan bagi kami sekeluarga, tiada sebarang masalah yang menyulitkan, abang sentiasa cool, cumanya Aaminah Wafi yang meragam sedikit sesuai dengan sifat kemanjaannya. Khadiijah Wafi pula, sebelum berbuka puasa, kelihatan badannya sangat lemah merengek lapar dan haus. Namun, apabila telah masuk waku berbuka, hanya sedikit makanan singgah dimulutnya, sama juga dengan minuman. Alasannya telah kenyang. Lantas isteri mengajarnya bahawa, rasa lapar dan dahaga itu semua hanya keinginan sahaja, namun apabila telah berbuka sedikit makanan sahaja sudah mengenyangkan, oleh kerana itu apabila pergi ke bazar, maka hanya sedikit sahaja makanan yang harus dibeli.

Apabila kami mangajar anak-anak tentang puasa, saya menerima hakikat bahawa sebenarnya pengajaran tersebut akhirnya mengajar kami juga. Semoga semuanya dipermudahkan, amin.


Sebelum ke masjid Shah Alam, sempat dahulu membeli sedikit makanan di Bazar Sek.13 Shah Alam


Khadiijah Wafi dalam muka keletihan menunggu azan maghrib


Gambar sekeluarga pada hari pertama berpuasa

Single Post Navigation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: