My Blog

Tentang Awak&Kite…NurCinta Kami…

Post mortem

Hari ini adalah hari ke 6 Ramadhan.

Kebiasaannya sesuatu organisasi akan membuat satu postmortem, apabila telah selesai mengadakan sesuatu acara ataupun aktiviti. Segala masalah yang timbul sewaktu dan selepas aktuvit dilaksanakan akan dibincang dan dikaji semula agar perkara tersebut tidak akan berulang di masa akan datang. Begitu juga dengan kehidupan kita, namun bila dan saat mana postmortem itu harus dilakukan, terpulang kepada setiap individu itu sendiri. Ada sesetengah orang, postmortem dilakukan ketika usia telah mencapai umur pencen dan dari situ baru bermula untuk memperbanyakan ibadah kepada Allah s.w.t. Ada juga sesetengah orang yang melakukan postmortem berlaku dalam sesuatu keadaan yang tidak dirancang dalam usianya, lihatlah berita-berita pada masa kini tentang berapa artis-artis yang telah mengubah kehidupan mereka, menutup aurat, menyampaikan dakwah yang barangkali setahun sebelumnya, mereka tidak sama sekali terfikir akan membuat postmortem dalam usia mereka kini.

Setelah tamat sebulan berpuasa, baru hendak buat postmortem? Sebaliknya saya mengelakkan daripada sebegitu. Saya menetapkan 5 hari sekali saya melakukan postmortem, meneliti apa yang telah saya lakukan pada 5 hari berpuasa sebelumnya. Apakah misi saya berjaya dilaksanakan atau sebaliknya. Alhamdulillah, barangkali 5 hari terawal ini adalah lebih baik berbanding 5 hari awal bulan puasa yang telah saya lalui pada tahun- tahun sudah. Isteri juga menyokong misi saya pada kali ini, dengan sama-sama membaca al-quran, menghabiskan satu juzu’ setiap hari. Sama-sama menghabiskan satu juzu` setiap, satu bentuk perkongsian yang saya tidak terfikir sebelum ini. Doanya semoga kami juga boleh berkongsi satu perjalanan dan kehidupan disyurga nanti. Ianya tidak mustahil, kerana dengan kasih sayang daripada Allah s.w.t.,impian itu pasti akan tercapai walaupun kami sedar kami banyak melakukan dosa pada masa-masa yang lampau.

Nampaknya misi berjalan dengan lancar, namun perjalanannya masih jauh, ada lagi 25 hari yang perlu ditempuh. Sekiranya berdasarkan peratusan, saya baru berjaya mencapai 16.6% sahaja. Hari ke-10 nanti, sekali lagi saya akan membuat postmortem perkembangan perjalanan misi Ramadhan kali ini.

Hari ke-5 berpuasa, cuacanya sangat panas terik namun saya melihat Khadiijah Wafi lebih cool berbanding hari pertama dan kedua berpuasa. Agakkan saya, betullah apa yang telah saya nyatakan di dalm post terdahulu berkenaan sesuatu perbuatan yang pada mulanya susah, lama-kelamaan akan menjadi suatu perkara yang biasa-biasa sahaja.

Hari isnin sewaktu menghantar Khadiijah Wafi kesekolah, saya bertemu dengan Miss Shirley dan menyatakan bahawa Khadiijah Wafi berpuasa. Namun saya diasak dengan beberapa soalan “boleh ke dia berpuasa, tahan ke dia menahan lapar, kesian dia masih kecil sudah berpuasa, risau dia tidak mampu menumpukan pelajaran sekiranya berpuasa”. Pertanyaan yang seolah-olah mengambarkan agama Islam meletakkan kesukaran kepada umat  Islam untuk beraktiviti harian akibat daripada ibadah puasa. Saya tidak menyalahkan Miss Shirley berkata sedemikian kerana hakikatnya kita sendiri yang menyebabkan orang bukan Islam berprasangka sebegitu. Apabila tiba bulan puasa, berapa ramai orang Islam yang tidur disurau ketika waktu rehat bekerja dengan alasan badan letih kerana berpuasa. Pergi ke pasaraya, tempat-tempat awam pada waktu siang, berjalan melihat muka-muka umat Islam semuanya kelihatan tidak bermaya sahaja. Saya rasa puasa tidak mendidik kita sebegitu, lihatlah kepada sejarah Islam bagaimana di dalam puasa umat Islam berperang di dalam perang Bada’. Agak-agaknyalah sekiranya umat Islam Malaysia sekarang yang pergi berperang pada bulan puasa, pihak lawan tengok dari jauh sahaja pun mereka akan mengetawakan kita dengan keadaan muka umat Islam yang datang dalam keadaan lemah dan longlai sahaja. Baru-baru ini pula, majlis fatwa telah mengeluarkan fatwa bahawa umat Islam Malaysia yang pergi mewakili Malaysia dalam sukan olimpik yang kebetulan berlangsung pada bulan Ramadhan, dibolehkan tidak berpuasa. Di dalam hati berkata, alahai Majlis Fatwa ini seolah-olah mengajar anak-anak kecil yang aktif bermain di depan rumah dengan berkata kalau rasa letih bermain, tidak perlulah berpuasa pun. Bukankah yang sepatutnya diajar ialah dalam bentuk galakkan untuk terus berpuasa walau dalam apa keadaan sekalipun. Ajaran daripada Majlis Fatwa ini secara tidak sedar menambah lagi tanggapan kepada orang bukan Islam bahawa berpuasa itu memang sangat letih dan menyukarkan untuk melakukan aktiviti harian. Saya bukanlah seorang yang pakar di dalam agama apatah lagi dibandingkan para mufti di Malaysia, namun saya rasa umat islam harus melakukan postmortem, ubah persepsi bahawa puasa itu bukan satu ibadah yang menyebabkan kita akan berasa lemah, semua aktiviti-aktiviti luar tidak boleh dilakukan ketika berpuasa, sama sekali ia tidak sebegitu.

Saya tidak berasa lemah ketika berpuasa? Bohonglah saya sekiranya saya menyatakan sebaliknya. Hakikatnya kenapa kita merasa lemah ketika berpuasa. Jawapannya adalah kerana kita tidak menzalimi puasa tesebut pada 11 bulan yang lain dalam setahun. Hari-hari makan pagi bersarapan, 3-4 jam berikutnya, makan tengahari, disebelah petang pula minum petang dan akhirnya makan malam. 4 kali sehari mulut mengunyah belum ditambah lagi dengan makan makanan ringan diwaktu sengang sehinggakan mulut pun tidak cukup rehat daripada mengunyah. Ketika berada di tingkatan 5, saya pernah berpuasa selama 2 bulan berturut-turut dan alhamdulillah saya masih lagi boleh melakukan aktiviti harian seperti biasa, dan kadang-kadang bersukan bermain sepak takraw. Benar, mulanya memang terasa sangat lemah, namun akhirnya ia menjadi sebahagian daripada kehidupan saya. Kini, ianya tinggal kenangan, saya pun tidak pasti adakah saya akan kuat sebegitu. Adakala kita menitis air mata mengenang kisah lampau, bagaimana saya begitu kuat ketika itu namun apabila umur semakin meningkat dewasa, saya menjadi lemah, semakin lemah dan lemah.

Selepas berjumpa dengan Miss Sherly, di tangga TSC, saya terserempak pula dengan Miss Parven, guru bahasa English Khadiijah. Dia bertanya dalam nada dan muka yang tersenyum “Khadiijah berpuasa?” tanpa sebarang soalan-soalan yang lain. Saya membayangkan orang yang pernah berpuasa agaknya lebih memahami. Sebagai penganut Hindu, Miss Parven pasti juga pernah berpuasa, maka dia tahu perihal puasa itu bagaimana namun puasa agama Hindu pasti sama sekali tidak sama dengan puasa kita orang Islam. Saya dahulu pernah belajar subjek agama budaya pada peringkat degree tetapi saya sendiri pun telah lupa bagaimanakah cara mereka berpuasa. Maka sekali lagi saya perlu membuat post mortem mencari buku-buku lama membaca semula tentang puasa orang hindu. Namun, bila dan di mana saya akan baca semula tentang itu, belum tahu lagi bila. Ia bukan misi utama saya pada masa kini, banyak lagi buku tentang sejarah yang perlu saya baca.

Akhirnya, sekali lagi saya nyatakan, setiap apa yang saya tulis di dalam blog ini sepatutnya mengajar saya semula tentang kehidupan. Namun, sebagai seorang manusia, kita sering kali lalai, hari ini menulis sesuatu yang baik, mungkin minggu depan atau bulan depan saya tidak mengikut atau menjalankan apa yang telah saya tulis. Oleh kerana itu, saya berasa saya perlu membuat satu postmortem semula terhadap blog ini. Artikel yang ditulis yang sebanyak mungkin hampir 100 entri harus dibaca semula, melihat semula apa-apa sahaja perkara yang saya terlupa di samping menyemak semula setiap artikel dari sudut ejaan dan ada juga artikel yang belum saya masukkan gambar dan video, ianya harus di completekan dahulu.

Semoga semuanya dipermudahkan. Murahkan rezeki kami sekeluarga. Saya tidak mahu menjadi kaya, cumanya berdoa semoga Allah s.w.t sentiasa melimpahkan rezeki yang cukup kepada kami agar kami tidak sentiasa merasa hati yang gundah, melapangkan kami dari semua bebanan hutang. Amin.

Single Post Navigation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: