My Blog

Tentang Awak&Kite…NurCinta Kami…

Penghujung

Ramadhan sudah sampai ke penghujungnya, terpulanglah kepada setiap individu dalam perkara tersebut, ada yang tidak sabar-sabar untuk menyambut hari raya, ada juga yang setiap hari menghitung kesedihan kerana telah berlalunya bulan yang penuh keberkatan. Tidak kurang juga sesetengah individu yang berasa biasa-biasa sahaja, bulan puasa ke, bulan raya, semuanya dilalui seperti hari-hari biasa.

Bagi kami pula, setakat hari ini, belum ada lagi persiapan untuk menyambut hari raya. Baju raya anak-anak masih lagi belum dibeli, kuih muih dan kerepek-kerepek masih lagi belum dicari sedangkan esok kami akan pulang ke Segamat untuk menyambut Syawal di sana. Rumah juga masih lagi tidak berkemas. Masih ada lagi masa ke untuk membuat semua persiapan tersebut?

Sebenarnya kami bercadang untuk ke uptown semalam untuk mencari baju raya anak-anak. Mungkin kerana sangat sibuk disebelah siang, selepas berbuka berpuasa, lebih kurang pukul 9 malam, satu keluarga tidur kepenatan, maka uptown dalam mimpilah jawabnya. Bangun lebih kurang pukul 3 pagi, perut mulai terasa lapar, akhirnya kami telah mengejutkan anak-anak, bergerak bersahur di McDonald seksyen 9, Shah Alam. Satu pengalaman baru bagi kami berdua, sama-sama bersahur pada pagi buta bersama anak-anak. Mulanya, kami bercadang mahu pergi berdua sahaja, alih-alih semuanya kami bawak bersama. Entah mengapa, begitulah kami berdua, memang tidak sampai hati untuk meninggalkan anak-anak kemana-mana sahaja kami pergi. Anak-anak kelihatan sangat gembira dengan pengalaman baru ini.

Pada mulanya, saya berasa seperti tidak mahu menyambut syawal pada tahun ini. Puncanya kerana sumber kewangan yang sangat terhad tidak seperti tahun-tahun sebelum ini. Fikir-fikir semula, demi anak-anak, kuatkanlah semangat untuk sentiasa ceria dalam menyambut syawal kali ini. Apabila kita bersemangat untuk menyambut syawal, tentu sekali anak-anak juga akan turut berasa gembira. Berdoa semoga ada keberkatan dalam sedikit peruntukan duit yang kami ada untuk kami sentiasa berasa cukup setiap masa dengan duit yang ada. Tidak guna ada peruntukan beribu-ribu ringgit tetapi dalam masa yang sama asyik berasa tidak cukup sahaja.

Bagaimana pula mencari keberkatan di dalam peruntukan yang ada itu? Saya berfikir, caranya mungkin begini :
1. Tidak mengeluh dengan peruntukan yang sedikit tersebut.
2. Niatkan dengan peruntukan tersebut untuk memberi kegembiraan kepada anak-anak dan isteri.
3. Berkongsi sedikit peruntukan tersebut bersama-sama orang lain yang memerlukan, mungkin dengan jalan menderma dan lain-lain.
4. Kalau rasa duit tidak mencukupi, cubalah untuk mengawal perasaan banyak bersabar, tidak perlu lepaskan kekusutan itu kepada anak-anak.

Misi dibulan Ramadhan?
1. Hari ini telah masuk juzu’ 28 (terima kasih kepada isteri yang banyak membantu dalam misi ini)
2. Sepanjang Ramadhan, tiga hari tidak bersolat terawih (suatu yang mengecewakan tetapi rasanya ianya lebih baik dari tahun-tahun sebelum ini)

Ramadhan telah sampai kepenghujungnya, saya berdoa semoga, bila tiba bulan syawal nanti, saya akan berubah lebih baik daripada bulan sebelum ketibaan Ramadhan. Sekiranya tidak boleh berubah 100%, kalau dapat 5-10% pun, ianya sangat memberi makna kepada diri saya. Apabila tibanya hari raya, semua orang mahu yang baru-baru belaka, baju baru, kasut baru, kereta baru…tidak kurang juga yang mahu beristeri baru..hehehehe.. Saya pula cukuplah berharap agar diri ini menjadi baru, dapat meninggalkan perkara-perkara yang tidak baik, berubah untuk menjadi lebih baru untuk isteri dan anak-anak.

Akhirnya, sekali lagi saya berdoa semoga peruntukan yang sedikit, sentiasa dicukupkan oleh Allah s.w.t. Dipermudahkan segala urusan untuk menyambut hari raya. Jauhi daripada sebarang kecelakaan yang mengundang duka dan jadikan kami sentiasa beristiqamah dengan amalan-amalan yang kami lakukan di bulan Ramadhan supaya ianya berterusan dibulan-bulan yang lain.

Single Post Navigation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: