My Blog

Tentang Awak&Kite…NurCinta Kami…

Isteri, anak-anak dan cuti

Puas juga memujuk hati agar menulis sesuatu di dalam blog walaupun jiwa dan perasaan sangat kusut diselubungi dengan macam-macam perkara yang perlu difikirkan lebih-lebih lagi soal duit, disertasi, saham dan emas. Mahu pecah kepala apabila memikirkan hal-hal kedunian ini namun dalam sedar tidak sedar ia sangat menyeronokkan kerana akal kami akan sentiasa berfikir, berfikir dan berfikir dalam menyelesaikan setiap masalah tersebut terutamanya dalam urusan emas dan percayalah ia memberi pengalaman yang indah untuk dikenang bagi kami berdua. Cumanya apabila akal fikiran ini sudah terlalu buntu, isteri akan berkata “Mintaklah “tolong” daripada Allah s.w.t, I.Allah dia akan tolong”.

Mahu menulis tetapi bertangguh-tangguh, akhirnya saya menguatkan semangat untuk menulis juga di dalam blog ini kerana dua sebab. Pertama, saya berdoa semoga dengan titipan-titipan ringkas ini akan memberi sedikit ketenangan di dalam diri untuk mengharungi dugaan dan cabaran kecil yang diberikan Allah s.w.t. Dan keduanya, coretan ini akan memberi kegembiraan kepada insan tersayang yang sentiasa menantikan tulisan-tulisan daripada saya setiap hari. Setiap hari dia akan bertanya sama ada saya ada menulis blog atau tidak dan apabila saya mengelengkan kepada, nampak dari raut wajahnya sedikit rasa kekecewaan walaupun tidak dituturkan dengan kata-kata.

Begitulah ciri-ciri istimewa yang ada di dalam diri manusia. Adakala walaupun mulut diam membisu tetapi kita boleh membaca perasaan seseorang melalui raut wajahnya. Begitu juga sekiranya kita bertemu dengan seseorang yang datang dengan wajah yang berkerut, maka kita tahu dia sedang menghadapi sesuatu masalah. Bila seseorang datang dengan muka yang masam mencuka, kita tahulah bahawa ada sesuatu yang tidak puas hati yang masih terpendam di dalam perasaannya. Mungkin juga ada yang berkata, mana ada saya marah, saya tidak mempunyai sebarang masalah pun tetapi dalam masa yang sama riak wajahnya sama sekali tidak akan berbohong.

Sekiranya kita berhadapan depan situasi-situasi begini, maka janganlah cuba untuk membuat lawak yang bukan-bukan, janganlah cuba untuk menambah lagi kekusutan mereka. Kami sebagai suami isteri pun begitu, isteri selalu menyatakan sekiranya dia sedang marah, jangan ditegur-tegur walaupun niat dihati untuk mengurangkan tekanan isteri tetapi adakala boleh menjadi perang besar. Kadang-kadang puncanya kecil sahaja, namun apabila ditambah dengan kondisi badan yang telah penat setelah pulang dari menyelesaikan urusan harian, atau rasa mengantuk kerana kurang tidur pada malam hari, menyebabkan ia menjadi besar dan boleh berlarutan berjam-jam. Maka kami telah sepakat, sekiranya isteri sedang mood tidak ok, maka biarkan sahaja tanpa ditegur, begitu juga keadaan yang sama untuk saya.

Mahu tidak mahu, kami terpaksa juga mematuhi keadaan tersebut kerana kalau tidak yang akan menjadi mangsa kemarahan nanti adalah anak-anak. Lucu betul apabila mengenang ketika dalam keadaan marah, pada ketika itu jugalah saya sibuk menyuruh anak pergi mandi, marah-marah anak tidak mengemas permainan yang bersepah. Sambil mulut mengomel sorang-sorang menyatakan perasaan tidak puas hati seolah-olah diri sendiri yang betul. Asyik marah anak-anak sahaja, seronok ke? Hanya pasangan yang ada anak-anak sahaja yang dapat memahami perasaan tersebut. Ada sesetengah individu mengatakan tidak bagus memarahi anak-anak memandangkan usia mereka yang masih kecil dan boleh membantutkan perkembangan minda mereka. Sebaliknya saya berpendapat, marahlah anak-anak tetapi biarlah dalam keadaan bertempat. Marah bukan kerana untuk melepaskan tension dan resah dari dalam diri, marahlah dengan niat untuk mendidik.

Ya, Allah, ampunilah dosa saya..saya pernah memarahi anak-anak dalam keadaan melampau satu ketika dahulu dan apabila dikenang seorang diri mendatangkan penyesalan yang amat sangat….

Saya pernah berjumpa dengan beberapa orang anak-anak yang perangainya agak teruk, tidak menghormati orang tua, percakapan yang berbaur rasa bangga diri. Saya mengelengkan kepala sendirian melihat perangai mereka sebegitu rupa. Apabila diselidik rupa-rupanya si ibu bapa sangat memanjakan mereka, membiarkan sahaja anak-anak berperangai sesuka hati mereka sehinggakan anak-anak tidak dapat membezakan perangai yang baik dan tidak baik, semuanya diredahkan sahaja. Rasa untuk memarahi anak-anak tersebut bertukar menjadi simpati kerana mereka masih kecil, belum tahu apa-apa dan mulai risau tentang masa depan mereka sambil di dalam hati berdoa semoga Allah s.w.t membuka hati ibu bapa tersebut untuk menjadi ibu bapa yang lebih baik di hari-hari yang mendatang.

Apabila sebut tentang anak-anak, tiba-tiba terfikir tentang cuti sekolah yang baru bermula ini.

Seperti ibu bapa yang lain, kami juga sudah mula merancang tentang bagaimana mahu memenuhkan ruang waktu cuti persekolahan yang panjang ini untuk anak-anak. Dengan bajet yang ciput, maka langkah untuk ke destinasi yang jauh atau mahal terpaksa dilupakan. Barangkali ada ibu bapa yang telah mula merancang membawa anak-anak bercuti ke Melaka, Port Dickson, Cherating, Langkawi dan lain-lain tempat. Seronoknya..:) Namun, dari awal-awal lagi saya telah nyatakan kepada isteri sekiranya saya ada duit beribu-ribu ringgit pun, belum tentu saya akan akan membawa keluarga bercuti pada musim cuti sekolah ini. Pertama disebabkan caj penginapan yang dua kali ganda lebih mahal berbanding hari biasa. Keduanya, dengan anak-anak yang masih kecil, saya tidak dapat membayangkan betapa tidak selesanya kami semua berada dalam ramai-ramai manusia lain yang turut sama sedang bercuti.

Oleh kerana itu, pada musim cuti sekolah ini, kami perlu memikirkan bercuti di tempat-tempat yang tidak ramai orang sahaja. Ada ke tempat-tempat sebegitu? Ada.

Pergilah kemana-mana tempat pun, tetapi datanglah seawal pagi yang mungkin dan pulang sebelum orang ramai memenuhi tempat tersebut dan pasti kita akan merasai nikmat bercuti yang lancar. Kami telah lakukan dan sememangnya ia menyeronokan. Kami pernah tiba di Ikea seawal jam 9 pagi, tidak perlu mencari-cari tempat parking kereta, tidak perlu beratur panjang membeli makanan dan yang paling seronok Khadiijah Wafi antara individu terawal dapat memasuki tempat permainan Ikea. Apabila orang ramai telah mulai berpusu-pusu memasuki Ikea, kami pula telah mulai bersiao-siap untuk pulang ke rumah. Bukan sahaja di Ikea, kami juga telah mempraktikan pengalaman tersebut di Pasar Tani Shah Alam, di Tesco Shah Alam dan di Sunway Pyramid. Mungkin dalam cuti sekolah ini kami akan pergi ke planeterium, pusat sains negara dan tempat-tempat lain di sekitar Lembah Klang, namun syaratnya mesti pergi seawal pagi yang mungkin.

Mungkin terbayang difikiran kita semua apabila sebut perkataan cuti maksudnya berehat, namun bagi saya dan isteri pula telah mula “bekerja” memikirkan berbagai-bagai misi untuk perkembangan anak-anak. Di antara misi yang perlu dilaksanakan pada cuti sekolah ini ialah :
1. Mengajar Aaminah Wafi untuk tidak lagi memakai pampers. Kalau ikut rasa malas, memang mahu sahaja dibiarkan Aaminah Wafi terus memakai pampers sehingga dia sendiri sudah boleh berfikir untuk membuang air di toilet. Tetapi sebagai ibu bapa, tidak sampai hati melihat Aaminah Wafi yang semakin hari semakin rimas memakai pampers. Rumah perlu diubah suai sebagai persiapan sekiranya Aaminah terbuang buang air di dalam ruang rumah sekali pun, kami tidak penat untuk mencucinya. Keduanya, sebagai seorang ayah, saya tidak harus berlepas tangan membiarkan isteri seorang terkontang-kanting melaksanakan misi tersebut seorang diri.
2. Mengajar Khadiijah Wafi untuk menghabiskan iqra’ dua sepanjang cuti persekolahan ini. Kelihatannya ia bukanlah misi yang sukar untuk dilaksanakan kerana Khadiijah Wafi sudah pun lancar iqra’ satu, iqra’ dua sama sahaja seperti iqra’ satu cumanya huruf-huruf yang telah dipelajari dicantum menjadi perkataan di dalam iqra’ dua. Namun selalunya, perkara yang mudah inilah yang selalu kita terlepas pandang sehingga ia menjadi perkara yang selalu ditangguhkan.
3. Isteri mempunyai misi untuk mendapatkan lesen kereta. Saya mendoakan semoga misi isteri untuk mendapatkan lesen kereta dipermudahkan oleh Allah s.w.t. Setelah sekian lama tertangguh, mahu tidak mahu, isteri perlu juga mendapatkan lesen juga sebelum hujung tahun ini sebelum lesen L mati. Berusahalah sayang…
4. Misi saya sepanjang cuti sekolah ini pula ialah…………………………………………………………. Biarlah rahsia.:)

Akhirnya, seperti biasa saya berdoa semoga segalanya dipermudahkan oleh Allah s.w.t. Amin…

Single Post Navigation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: