My Blog

Tentang Awak&Kite…NurCinta Kami…

hari minggu

Jam sudah menunjukkan pukul 5.25 petang, hujan yang turun sejak dua jam yang lalu masih lagi tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti. Dalam keadaan yang sejuk ditambah dengan hari yang semakin mahu melabuhkan tirai, kelopak-kelopak mata sudah mula berasa mengantuk. Sebenarnya rasa mengantuk itu telah dirasai sejak dari sejam yang lalu kerana menonton rangkaian televisyen yang membawa secara langung perhimpunan sebuah parti politik yang Insya Allah akan rebah pada pilihanraya yang akan datang ini. Saya tiada pilihan, membuka rangkaian satu, memang telah dijangka perhimpunan tersebut yang akan dipertontonkan. Rangkaian dua dan tiga juga sebegitu, dan saya amat terkejut bila mana rangkaian tujuh, lapan dan sembilan serta empat belas juga memaparkan liputan yang sama. Dalam hati berbisik, alahai sudah tahap teruk sangatkah sistem media di Malaysia ini sehingga semua rakyat di desak untuk menonton perhimpunan tersebut. Ini belum lagi menonton Buletin pada pukul 8 malam nanti, semua yang akan di “berita” kan semuanya sudah boleh dijangka…

Ketika mata sudah mula terkebil-kebil mengadap muka seorang menteri sedang berucap, saya dikejutkan dengan azan Asar. kalau mahu diikutkan bisikan syaitan, tidur dululah dalam sejam, nanti pukul 6 baru solat, namun saya gagahkan juga mengambil wudu’, solat, menadah tangan berdoa semoga Allah s.w.t sentiasa memberkati kami sekeluarga dan memudahkan setiap urusan yang kami lakukan. Selepas solat, Khadiijah dan Aaminah pula sudah mula merengek kelaparan. Saya membuka peti ais, tiada apa pun yang boleh di makan. Melihat di atas meja, Coco Crunch dan Honey Star yang baru di beli semalam pun sudah habis. Yang ada cuma nugget daging brand Ramly Burger. Saya menggorengkan, dan mereka sangat gembira.

Begitulah anak-anak, bila tiba hari cuti, dapur mesti dilengkapkan dengan makanan-makanan untuk mereka mengunyah ketika mana mereka sedang menonton televisyen. Hendak kata mereka lapar pun kadang-kadang tidak juga. Adakala baru sahaja mereka makan tengahari, setengah jam selepas itu, Khadiijah Wafi sudah mula membuka peti ais mencari-cari makanan. Isteri cakap ia merupakan penyakit keturunan daripada si walid dia..:)

Oleh kerana itu, dalam dua ke tiga hari sekali, kami sekeluarga pasti akan ke SpeedMart menyediakan wang ringgit lebih kurang rm20 membeli makanan seperti nata de coco, coco crunch, honey star, air kotak susu dutchlady/nestle, coklat, kentang goreng, nuget dan lain-lain. Keropak adalah sama sekali ditegah untuk dibeli walaupun setiap kali ke Speedmart, Khadiijah dan Aaaminah akan ke tempat keropok terlebih dahulu. Namun, kami tidaklah begitu kejam, adakala kami membelikan juga dan isteri selalu berpesan kepada anak-anak bahawa keropok adalah tidak bagus untuk dimakan namun sekali sekala ia boleh dimakan.

Apa yang menarik ialah apabila ke pasaraya besar, Khadiijah akan bertanya kepada isteri “berapa duit yang ummi ada, kak long beli mainan ikut duit yang ummi ada” dan isteri memang suka menyakat anaknya denga berkata ” ummi ada one ringgit sahaja”, maka puaslah Khadiijah Wafi menelek setiap tag harga pada setiap mainan ada atau pun tidak yang berharga one ringgit. Kami memandang dari jauh, alahai kesiannya kami melihatnya membelek dari satu mainan ke mainan yang lain. Akhirnya kami memanggilnya dan gantikan rasa mahu membeli mainan di hatinya dengan tawaran untuk membeli makanan yang dia suka. Jika ke Jusco, isteri akan menawarkan ayam goreng. Namun jika kami ada duit lebih, saya lebih senang untuk menawarkan membeli buku-buku di MPH. Sebut tentang MPH, tidak sabar pula rasa hati untuk menerima baucer buku Rm250 bulan satu nanti untuk membeli buku anak-anak dan isteri.

Bukan tidak mahu membelikan anak-anak mainan, tetapi kami melihat anak-anak semuanya apabila dibelikan mainan, mereka akan bermain untuk tempoh sehari dua sahaja, selepas itu mainan-mainan tersebut semuanya dijadikan “bahan sejarah”. Hakikatnya mereka lebih suka kepada galaxy tab dan ipad dan mereka tidak jemu menggunakannya. Cumanya sedar tidak sedar sudah sebulan Khadiijah Wafi tidak menggunakan galaxy tab. Bukan kerana ia rosak tetapi screen protectornya tertanggal, maka kami risau jika Khadiijah menggunakannya tanpa screen protector, skrinnya akan tercalar. Saya telah bertanya kepada kedai-kedai gajet di Tesco dan Giant, screen protector tersebut berharga Rm35. Mak ai, mahalnya. Adik yang sedang menuntut di UiTM ada menyatakan ada satu kiosk di Uptown Damansara yang menjual screen protector untuk ipad dan galaxy berharga Rm15 sahaja dan walaupun Uptown Damansara tidak jauh dari rumah kami berjarak 20 minit perjalanan sahaja, namun sehingga ke hari ini saya dan isteri tidak juga ke sana.

Malam ini ada perlawanan bola sepak di antara pasukan Malaysia dan Indonesia. Dalam perlawanan pasti ada kalah dan menang. Dalam hati, pasti mahu kemenangan itu milik pasukan Malaysia namun sekiranya kalah tetapi mereka bermain bermati-matian demi maruah negara, itu sudah cukup membanggakan. Dari satu sudut, melalui sukanlah saya dapat melihat konsep Satu Malaysia dipraktikan di negara tercinta ini. Dengan sukan jugalah ia membina perpaduan di kalangan rakyat Malaysia. Tanyalah kepada setiap rakyat pada hari ini, siapakah yang mereka sokong pada malam ini, sudah tentu jawapannya adalah Malaysia. Sukan berjaya membuang segala rasa politik, perkauman dan darjat setiap rakyat Malaysia.

Dari segi aspek yang lain, saya tidak nampak konsep satu Malaysia itu dapat dipraktikkan kerana semangat perkauman masih lagi menebal di dalam diri masyarakat Malaysia. Ia di tambah lagi dengan pegangan agama setiap kaum. Misalnya, kita sebagai seorang seorang muslim tidak akan tergamak untuk makan tengahari di restoran Cina (walaupun sudah segelintir masyarakat Malaysia sudah boleh sebegitu). Kita tidak boleh menjadi negara Bangsa seperti Indonesia dan juga India yang boleh melakukan apa-apa sahaja sehinggakan konsep bangsa tersebut mengatasi segala-galanya termasuknya dalam aspek agama. Kita sendiri boleh menonton cerita-cerita hindustan yang memaparkan seorang pelakon beranuti Hindu tetapi di dalam filem dia melakonkan watak sebagai penganut Islam dan boleh melakonkan adegan bersolat. AstagfiruAllahalAzim, semoga Allah s.w.t. sentiasa mengampunkan dosa-dosa kami sekeluarga.

Cumanya suasana di Malaysia saya melihatnya seperti dua garisan yang dibataskan dengan cara hidup setiap kaum berdasarkan agama dan budaya. Namun adakala garisan di atas akan menyentuh garisan di bawah dan juga sebaliknya apabila terdapat suara-suara yang cuba masuk campur dalam urusan kaum yang lain atau cuba bermain api dengan merendah-rendahkan kaum yang lain. Namun, lama-lama kelamaan dua garisan tersebut akan kembali kepada kedudukan asal. Siapa tahu akan datang dua garisan tersebut akan mula melilit antara satu sama lain dan kita akan menjadi negara seperti Indonesia dan India dan perkara yang paling saya risau adalah berkenaan dengan agama Islam itu sendiri.

Hujan pun telah berhenti walaupun awan hitam masih berarak gelap. Dan anak-anak sudah mula bermain di luar rumah. Dari jauh saya memandang tentang masa depan mereka. berbagai persoalan timbul tentang apa dugaan dan cabaran yang akan mereka hadapi 10-20 tahun akan datang khususnya sebagai seorang yang beragama Islam. Saya berdoa semoga mereka semua sentiasa mendapat naungan daripada Allah s.w.t. kelak..Amin..

Single Post Navigation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: