My Blog

Tentang Awak&Kite…NurCinta Kami…

18 disember 2012

Setahun yang lalu, pada tarikh ini, pada jam ini (23.15) malam, isteri baru sahaja dimasukkan ke labour room untuk bersiap sedia melahirkan anak kami yang ketiga. Walaupun ini merupakan kelahiran ketiga bagi keluarga kecil kami, tetapi perasaan berdebar-debar itu tetap wujud. Kerana ia melibatkan dua nyawa dan setiap detik berdoa semoga semuanya dipermudahkan oleh Allah s.w.t.

Isteri telah mula berasa sakit sejak dari awal pagi lagi, namun dia bertegas mahu ke poliklinik Umra selepas waktu zuhur dengan alasan dia belum rasa benar-benar mahu bersalin lagi. Saya mengikutkan sahaja kehendaknya dan pengalaman sebelum sememangnya mengajar, jika rasa “sedikit” sahaja, mungkin akan bersalin berjam-jam selepas rasa sakit yang pertama. Cumanya di dalam hati, terfikir sekiranya tidak sempat menghantar isteri ke poliklinik Umra, mungkin saya sendiri yang akan menyambut anak lelaki pertama yang ini.

Selepas solat zuhur, kami bergerak ke poliklinik Umra dan dalam masa yang sama isteri telah menyatakan yang dia sudah merasakan sakit yang semakin kuat seperti mahu bersalin. Sampai sahaja di Poliklinik, saya park kereta, tiba-tiba isteri berkata “rasa sakit ini sudah tiada pula”. Alahai anak lelaki yang seorang ini, tadi bukan nakal tendang-tendang perut ummi seolah-olah seperti sudsh tidak sabar melihat dunia, sekarang agaknya sudah penat menendang, mahu tidur pula”.

Oleh kerana sudah tidak sakit, saya dan isteri tidak jadi masuk ke poliklinik, sebaliknya bergerak ke seksyen 13, mencari restoran mengisi perut yang kosong. Sambil makan, kami berdua berbincang samaada mahu balik sahaja ke rumah atau pergi ke poliklinik. Ikutkan kehendak isteri, dia mahu pulang sahaja ke rumah tetapi saya berkeras untuk ke poliklinik. Takut-takut juga peristiwa kematian anak di dalam kandungan oleh kakak ipar akan menimpa pula kepada kami, nauzubillahiminzalik..

Kami kembali semula ke poliklinik, namun akhirnya terpaksa juga pulang ke rumah kerana hanya ada doktor lelaki yang sedang bertugas, sebelah petang baru ada doktor wanita bertugas. Isteri sememangnya tidak mahu bersalin dengan doktor lelaki dan saya juga sebegitu juga. Dalam keadaan hujan yang renyai, kami bergerak pulang kerumah, namun apabila tiba dipersimpangan rumah, saya mengajak isteri ke klinik an-nisa di subang bestari untuk memastikan keadaan baby adalah selamat. Setibanya di klinik an-nisa, pintu tertutup, baru perasaan yang hari ini adalah hari ahad. Kami bergerak ke sebuah klinik di subang permai, kliniknya buka namun doktornya pula tiada. Saya cuba menelefon klinik di Bukit Jelutong, keadaannya juga sama, tiada doktor wanita yang sedang bertugas.

Akhirnya isteri berkata “kita tawakal sahaja, jika memang Allah s.w.t janji bahawa baby di dalam perut ini akan hidup, I.Allah dia akan lahir dengan selamat” dan kami pulang kerumah.

Lebih kurang pukul 9.30 malam, selepas solat isya’ , kami bergerak kembali ke poliklinik al-umra. Sampai sahaja di tempat park kereta, tiba-tiba saya berkata kepada isteri, adalah lebih baik kalau isteri bersalin lepas pukul 12 tengah malam kerana sekiranya isteri bersalin pada hari ini (ahad), saya hanya memperolehi cuti tanpa rekod selama dua hari sahaja iaitu hari isnin dan selasa dan sekiranya isteri bersalin selepas pukul 12 tengah malam (isnin), saya akan mendapat cuti selama tiga hari (isnin, selasa dan rabu). Kami berdua bersetuju dan selama sejam kami berbual-bual di dalam kereta untuk melambatkan masa untuk bersalin.

Pukul 11 malam, kami melangkah masuk ke dalam poliklinik. 15 minit selepas itu, saya dimaklumkan isteri sudah dimasukkan ke labour room. Saya telah masuk ke labour room menemankan isteri sambil mata setiap detik akan melihat jam di dinding. Di dalam hati berkata berdasarkan pengalaman di labour room semasa isteri melahirkan Khadiijah dan Aaminah, masa untuk melahirkan anak pasti akan mengambil masa lebih dari satu jam. Bolehlah saya mendapat cuti hari isnin, selasa dan rabu. Lebih kurang pukul 11.45 malam, doktor tiba-tiba berkata sudah tiba masanya untuk isteri melahirkan baby. Doktor dan pembantunya semuanya sudah bersiap sedia denga segala macam peralatan, saya melihat jam di dinding, pukul 11.50 malam.

11.53 malam, baby sudah mula mengeluarkan kepalanya. 11.55 malam, telinganya sudah mula kelihatan. Entah macam mana dalam keadaan yang tegang itu, saya masih lagi sempat berkata di dalam hati, janganlah keluar dulu wahai baby, sedikit sahaja lagi mahu pukul 12 tengah malam. Alih-alih, pukul 11.57 malam, lahirlah si baby comel ini.

Tidak mengapalah tidak lahir 12 tengah malam, yang lebih utama ialah baby dan isteri selamat. Cumanya saya sedikit terkejut apabila melihat jari-jemari sibaby ini sangat panjang seperti panjang jari orang dewasa. Tidak sangka saya sudah mempunyai seorang anak lelaki.

Begitulah detik-detik kelahiran Ahmad Afkaar Wafi. Rasa seolah-olah seperti cepat sahaja masa berlalu dan hari ini usianya sudah pun genap satu tahun. Umur baru satu tahun, tetapi aktifnya macam anak berusia dua tahun. Tidak pandai duduk diam, ada sahaja aktiviti yang dilakukan. Hari ini Afkaar sudah berani melepaskan tangan untuk berjalan, namun dua tiga tapak terjatuh. Sudah berani memanjat kerusi sofa, memanjat meja coffee. Dan yang paling ketara sudah mula pandai menekan-nekan ipad menggunakan jarinya yang halus.

Sepanjang setahun ini, salah satu peristiwa yang paling saya tidak lupa ialah ketika mana Ahmad Afkaar disedut kahak, dimasukkan tiub sepanjang sedepa tangan ke dalam hidungnya di depan mata saya sendiri. Tiada ibu bapa yang sanggup melihat anaknya dilakukan sedemikian rupa namun di’gagah’kan juga jiwa dan raga untuk menghadapinya.

Untuk Ahmad Afkaar Wafi, sekiranya tulisan ini masih wujud 10-20 tahun akan datang, dan Afkaar berpeluang untuk membacanya lagi, walid dan ummi meminta ampun dan maaf kerana tidak mengadakan sambutan meraikan hari kelahiran Afkaar pada hari ini. Tiada kek dan hadiah. Walau bagaimana pun, ia bukanlah petanda bahawa kami tidak sayangkan Afkaar cumanya ekonomi keluarga kita berada dalam keadaan yang sangat genting pada ketika ini. Sekiranya Walid dan ummi banyak duit, ingin sahaja kami membawa Afkaar melancong ke tempat-tempat menarik ketika hari kelahiranmu seperti mana keluarga-keluarga yang lain. Apakan daya, yang kami ada hanya sekelumit doa semoga Ahmad Afkaar Wafi menjadi insan yang soleh disisi Allah s.w.t. Dan ummi selalu mendoakan setiap hari agar Afkaar menjadi ulama yang muktabar apabila besar nanti. Amin..

20121219-010859.jpg
birthday imam kecil🙂

Single Post Navigation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: