My Blog

Tentang Awak&Kite…NurCinta Kami…

INI KALILAH!

Ada beberapa hari lagi sebelum rakyat Malaysia akan keluar mengundi bagi menentukan kerajaan bagi Malaysia untuk 5 tahun lagi. Bagi saya dan isteri, kami akan mengundi di Segamat, Johor. Parlimen, Parti Keadilan Rakyat melawan Barisan Nasional mewakili MIC. Manakala di peringkat Adun pula, DAP akan melawan Barisan Nasional mewakili MCA. Sayangnya, kami terpaksa memilih pemimpin daripada kalangan Non-Muslim dan di dalam hati berbisik alangkah bagusnya sekiranya yang bertanding tersebut daripada parti PAS, hati pasti akan lebih teruja untuk mengundi. Tidak mengapalah, lagipun Parti PAS telah bekerjasama dengan PKR dan DAP, maka niat untuk memenangkan parti PAS, semestinya perlu memangkah PKR dan DAP.

Soal memilih calon wakil rakyat, terdapat dua aspek yang menjadi ketentuan pengundi. Pertamanya, adakah kita memilih calon tersebut dengan harapan dia akan membawa perubahan kepada kawasan yang diwakilinya. Kedua, adakah kita memilih calon tersebut, dengan harapan pakatan mereka akan memenangi majoriti keseluruhan Parlimen dan seterusnya membentuk kerajaan yang akan membawa perubahan yang lebih baik daripada kerajaan yang sedia ada. Keputusan di tangan pengundi, dan bagi saya, saya mengundi untuk pilihan yang kedua.

Begitu juga terdapat persoalan yang selalu bermain di fikiran masyarakat ; Saya mahu Pakatan Rakyat memerintah Malaysia, tetapi saya tidak berapa yakin dengan calon yang mereka letakkan di tempat saya, berbanding dengan calon Barisan Nasional yang telah terbukti memainkan peranan sejak sekian lama menjadi wakil di tempat saya. Bagi saya ia mudah sahaja, walaubagaimana baik pun pemimpin di peringkat bawahan, kita mesti melihat pemimpin yang paling atas sekali. Ia menjadi penentu. Pemimpin bawahan semestinya patuh kepada pemimpin peringkat atasan, dan sekiranya pemimpin peringkat atasan pun mengamalkan rasuah, bagaimana dia mampu mendidik pemimpin peringkat bawahan dan sekiranya pemimpin bawahan mengamalkan rasuah, tidak melaksanakan tugas, nescaya dia akan dikenakan tindakan oleh pemimpin peringkat atasan yang telus sekiranya perbuatannya dilaporkan oleh pihak rakyat.

Susahnya mahu memilih pemimpin, kerana kita tidak tahu apa yang ada di dalam hati mereka. Adakah mereka benar-benar akan menjadi pemimpin yang telus atau niat mereka menjadi pemimpin untuk mengejar populariti dan kemewahan. Lebih-lebih lagi calon yang hanya muncul sekali sahaja dalam masa lima tahun. Waktu-waktu berkempenlah baru muncul muka, melihat nasib rakyat, selepas menang pilihanraya, terus hilang tidak dapat dikesan.

Oleh kerana itulah, saya lebih suka untuk memilih calon daripada parti PAS. Berdasarkan masa lampau, belum ada lagi calon PAS yang lompat parti selepas menang pilihanraya. Dan sekiranya kita melihat kepada PRU ke11, ketika mana kerajaan Kelantan hanya menang berkelebihan satu adun sahaja bagi membentuk kerajaan negeri, tiada seorang pun daripada calon PAS melompat kesebelah Barisan Nasional untuk membentuk kerajaan negeri yang baru. Berbeza sama sekali dengan kejadian yang berlaku di negeri Perak, lihatlah bagaimana kerajaan menjadi kucar-kacir akibat daripada tiga orang adun, dua daripada PKR dan satu daripada DAP.

Calon Bebas? Setakat ini belum ada lagi terdetik di dalam hati untuk mengundi calon Bebas. Pertamanya kerana dalam masa 5 tahun, ketika inilah baru wajah mereka muncul. Dalam masa 5 tahun sebelum ini, di mana peranan mereka dalam membincangkan pelbagai isu nasional dan luar seperti isu-isu pendidikan, isu israel dan isu hak asasi manusia. Saya perlukan seorang pemimpin yang wujud setiap masa, berani bersuara apabila muncul sesuatu isu, setiap hari dan tahun. Namun, peranan mereka perlu juga diambil kira pada pilihanraya masa kini kerana ada kemungkinan mereka menjadi penentu untuk membentuk kerajaan. Maksudnya, sekiranya Pakatan Rakyat menang tetapi tidak menang besar yang membolehkannya membentuk kerajaan, manakala Barisan Nasional tewas, tetapi tewas tipis sahaja. Maka, pihak Bebas ini akan menjadi penentu kepada pembentukan Kerajaan Campuran.

Keseluruhan Parlimen : 222 kerusi.

Kemenangan Pakatan Rakyat : 100 kerusi

Kemenangan barisan Nasional : 100 kerusi

Bebas : 22 kerusi

Sekiranya 12 kerusi bebas memilih untuk bersama Pakatan Rakyat dan 10 yang lain memilih untuk bersama Barisan Nasional, maka Pakatan Rakyat akan berjaya membentuk Kerajaan Campuran bersama-sama dengan wakil Bebas dan begitu jugalah sebaliknya.

Menjelang pihanraya umum kali ini, saya melihat banyak sentimen perkauman dan agama dimainkan oleh pihak pemerintah. Contohnya, di akhbar The Sun 29 April, terpampang satu muka surat yang digunakan oleh parti MCA untuk menakutkan-nakutkan pengundi Cina tentang sekiranya kaum Cina memilih untuk mengundi DAP, maka mereka akan berisiko untuk mendapat Perdana Menteri daripada Parti PAS dan secara tidak langsung mereka akan terpaksa mengikut undang-undang HUDUD. Berbeza pula apabila kita membaca akhbar Utusan Malaysia, pihak UMNO pula beria-ria menakutkan kaum Melayu sekiranya mereka mengundi DAP, masyarakat Melayu akan berisiko mendapat Perdana Menteri daripada kaum bukan Melayu dan risiko akan berulangnya peristiwa 13 mei 1969. Kelakar betul diaorang, tidak perlulah cuba menakutkan-nakutkan masyarakat Malaysia, semua orang Malaysia tidak kira agama dan kaum sudah cerdik dan tidak ada apa yang perlu ditakutkan. Saya lebih rela, segala hak keistimewaan kaum bumiputera di tarik balik sekiranya dengan jalan tersebut membolehkan masyarakat Melayu lebih berdaya saing dan maju. Apa guna kita mencanang untuk membela hak keistimewaan orang Melayu sekiranya yang kaya tetap pihak-pihak atasan, yang mendapat untung hanya pihak-pihak kroni manakala masyarakat Melayu masih lagi mundur berbanding kaum-kaum yang lain khususnya masyarakat Cina.

Begitu juga, masyarakat Melayu sering ditakut-takutkan tentang andaian sekiranya DAP menang pada pilihanraya kali ini, peristiwa 13 Mei 1969 akan kembali berulang. Boleh percaya ke? Ianya bukan sesuatu yang mustahil. Namun apabila kita menyentuh tentang peristiwa 13 Mei 1969, masyarakat sering memfokuskan tentang kejadian pada hari tersebut tentang bagaimana berlaku pertumpahan darah sesama kaum, namun kita sering tidak melihat dari sudut kebelakang sedikit tentang punca-punca awal ke arah peristiwa tersebut dua-tiga tahun sebelum itu, tentang isu pendidikan, isu hak keistimewaan masyarakat Melayu dan Isu Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Isu-isu inilah yang dimainkan ketika kempen pilihanraya 1969 dan apabila keputusan pilihanraya memihak kepada pembangkang, ia secara tidak langsung memberi kemenangan kepada pihak-pihak yang mempertikaian isu-isu sensitif perlembagaan tersebut. Ia sama sekali berbeza dengan masa kini, ketika kempen pilihanraya, isu-isu yang diutarakan adalah lebih ke arah pemerintahan yang lebih adil, isu rasuah dan korupsi pihak pemerintah, isu taraf hidup yang semaikin meningkat, makanya sekiranya pakatan Rakyat berjaya memenangi pilihanraya, bermakna kita menang melalui isu-isu ini, bukannya melalui isu-isu sensitif perlembagaan. Saya tidak nampak akan berlaku huru-hara melainkan datangnya daripada pihak-pihak yang lagi satu.

Apabila pulang ke Segamat nanti, mak dan ayah sudah pun tahu yang kami akan mengundi PKR dan DAP. Dan saya pula sudah mengetahui yang mereka pasti akan mengundi BN. Tidak mengapalah kerana mereka melihat BN itu dari kaca mata yang dahulu, tentang bagaimana Tunku Abdul Rahman memimpin masyarakat Melayu mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu, tentang bagaimana Tun Razak berusaha gigih ke kampung-kampung melihat perkembangan kehidupan masyarakat Melayu, jasa-jasa mereka masih lagi terpahat di hati mak dan ayah. Dan mereka juga melihat DAP itu dari kaca mata lampau. Cebisan daripada parti PAP, pimpinan Lew Kuan Yew, seorang pemimpin yang sering menaikkan sentimen perkauman di Malaysia, sehingga menyebabkan Tunku Abdul Rahman mengusir Singapura daripada Malaysia pada tahun 1965. Sedangkan saya melihat BN itu dalam kaca mata terkini, yang penuh dengan korupsi, rasuah dan pemerintahan yang tidak cekap. Isu PKNZ, isu kapal selam yang tidak boleh menyelam, isu NFC, dan kebanyakan isu ini tidak diambil berat pun oleh Perdana Menteri sedangkan isu-isu ini melibatkan wang rakyat. Dan saya pula melihat DAP itu dalam kaca mata terkini, berkaitan dengan soal integriti dan pemerintahan yang lebih telus di Pulau Pinang.

Mengapa mereka tidak mampu untuk melihat dari kaca mata sekarang kerana setiap hari sumber yang dipertontonkan kepada mereka hanyalah TV3 sahaja. Akhbar pula hanya Utusan sahaja. Saya pula lebih senang menggunakan segala macam sumber yang ada dan akhirnya memberi penilaian yang mana lebih tepat. Maksudnya, TV3 pun saya tonton, utusan pun saya baca, harakahdaily pun saya lihat, dan akhirnya menilai sendiri setiap fakta yang diberi. Buat masa kini, saya melihat tiada satu pun media yang benar-benar telus di Malaysia baik media pihak pembangkang dan lebih-lebih lagi di pihak yang lagi satu. Oleh kerana itu, semua pun wajib baca dan semuanya pun wajib di tonton.

Saya sering mengingatkan diri sendiri, walaupun pada masa kini, kita berusaha dengan begitu gigih untuk menaikkan kerajaan pakatan Rakyat, dengan demonstrasinya, dengan perhimpunannya, yang ada sesetengahnya telah ditangkap, dipukul oleh pihak berkuasa, namun 20-30 tahun lagi, pastikah kerajaan ini, ruhnya akan kekal sama seperti sekarang atau berlaku perubahan ke arah yang lebih tidak baik. Dan ketika itu, kita tidak boleh menyalahkan anak-anak sekiranya mereka menjadi penentang pula kepada pakatan rakyat.

Akhirnya, demi masa depan anak-anak dan warisan seterusnya, saya berani untuk berubah walaupun belum pasti apa yang akan berlaku kepada negara Malaysia sekiranya kerajaan berubah nanti tetapi itu risiko yang perlu diambil…INI KALILAH!

20130430-014509.jpg

20130430-014521.jpg

🙂

20130501-120554.jpg

INI KALILAH.. UBAH !

Single Post Navigation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: