My Blog

Tentang Awak&Kite…NurCinta Kami…

Archive for the category “Motivasi”

12.12.16

Hari ni ulangtahun perkahwinan mama dan ayah. HAPPY ANNIVESARY MAMA&AYAH ☺

Setelah bertahun lamanya tidak berblogging, hari ni aku menulis kembali.

Sepanjang tidak menulis, pelbagai rintangan dilalui dan ianya sangat pahit untuk diingati.

 

Adat kehidupan, yang indah-indah itu bonus. Yang pahit adalah pasti.

Mujahid musleh sudah 5 serangkai ☺

Kak Long Khadiijah Khairana Wafi

Adik Aaminah Adriyana Wafi

Abang Ahmad Afkaar Wafi

Baby Ruqayyah Raihana Wafi

Dekbang Abraar Abqarii Wafi

Cinta kami padamu duhai mujahid musleh lima serangkai20161205_170932

Mana yang lebih penting

Mana yang lebih penting?

sibuk berpuasa menahan lapar dan dahaga tetapi dalam masa yang sama tidak menunaikan solat.
sibuk menjaga daripada melakukan perkara yang akan membatalkan puasa tetapi dalam masa yang sama tidak menjaga aurat di khalayak orang ramai.
sibuk bergegas untuk ke masjid menunaikan solat terawih, tetapi dalam masa yang sama solat fardhu pula tiada masa ke masjid.

begitulah orang kita…

kita sering mementingkan perkara yang penting lebih daripada perkara-perkara yang lebih penting. Dengan harapan pelaksanaan perkara yang penting itu akan mampu menutup kegagalan kita melaksanakan perkara-perkara yang lebih penting. Atau memang budaya masyarakat kita perkara yang penting itu lebih penting daripada perkara-perkara yang hakikatnya lebih pening…opss..penting..

tidak melaksanakan ibadah solat, tidak mengapa..ibadah puasa sekiranya ditinggalkan, ada harapanlah menaiki kereta jenazah sekiranya tertangkap..

mendedahkan aurat dikhalayak ramai, itu tidak mengapa…tetapi sekiranya makan dikhalayak ramai ketika bulan Ramadhan walaupun kita mempunyai eskius yang tidak dapat dielakkan, ia menjadi satu perkara yang mengaibkan…

begitulah perihal yang mana lebih penting yang sering kali kita terkeliru dengannya….

Nak nafikan namun ianya Kebenaran ;)

Dari Wall Ahmad Shafiai Uda Jaafar:

PEREMPUAN SUKA CAKAP TERBALIK, ORANG LELAKI DENGAR MACAM PELIK

Satu petang, Si suami yang baru pulang dari kerja, ingin memanjakan isterinya, “Jom kita keluar, malam ni kita makan di kedai je lah”. Sambut isterinya, “Eh nasi banyak lagi tu bang, gulaipun ada lagi tu. Nanti membazir, siapa pula nak menghabiskan tu”. Kalau diikutkan jawapannya itu seolah-olah membantah cadangan suaminya itu, tetapi tindakannya berlainan. Siisteri masuk ke bilik terus menukar baju dan membelitkan tudung di kepalanya di hadapan cermin di dalam bilik tidurnya. Sambil menunggu isterinya, dia mencapai surat khabar yang dibawa daripada pejabat tadi. Suaminya faham sangat. Kalau mulut isteri membantah tetapi nampak bergegas menukar baju, maknanya dia setujulah tu.

Setiba di gerai “char kue teow” yang biasa mereka singgah, adik di gerai tu menghampiri mereka dan bertanya, “Pak Cik nak makan apa?”. Pantas suaminya menjawab, “Char kue teow”. Ditegur isterinya, “Ish Abang ni, mintalah yang lain pula, mee ke, bihun ke. Kan dulu dah makan char kue teow ni”. Suami mula naik berang, “Menyusah je fikir-fikir, Abang tengah lapar, nak makan char kue teow le, Awak nak yang lain, pesan je la”. Muncung terus mulut si isteri mendengar arahan suaminya itu dan lantas memesan bihun sop untuk dirinya.
Sedang mereka menjamu selera, isterinya memecah kesunyian dengan bertanyakan satu soalan menjerat, “Sedap ke char kue teow tu bang?”. Sambil kepalanya masih tunduk menyedut lelehan kuah kue teow itu, suami membalas, “Sedap”. Terus melicinkan char kue teow kegemarannya itu. Apabila isterinya melihat piring suami telah licin, dia menegur dengan nada kecewa, “Awak tu makan, bukan nak ingatkan saya”. Tergamam suami mendengarnya terus membela diri, “Tadi tak cakap pun nak”. Sambut isterinya, “Dah cakap tadi, abang buat tak faham je”. Dibalas suaminya untuk membela dan membenarkan dirinya, “Mana Abang tahu awak nak rasa, kalau nak, pesan lagi satu”. Suara masing-masing mula meninggi.

Isteri merasakan suasana romantik yang dia mula kecapi seawal suaminya mengajak makan di gerai tadi telah hancur berkecai apabila suami tidak memahami kehendaknya malam itu. Bagi Sisuami pula, asalnya tadi keluar makan di luar untuk membantu isteri merehatkan badannya supaya tidak susah-susah memasak di rumah dan dengan harapan malam nanti dapatlah hadiah istemewa daripada isterinya. Tetapi sekarang, telah bertukar menjadi medan peperangan dingin dengan isterinya di meja char kue teow pula. Mengapa perkara ini boleh terjadi?

Kebiasaan wanita, apabila mereka berkomunikasi, mereka menggunakan ungkapan yang tidak terus. Mereka menggunakan bahasa berlapik, maksud terbalik dan berpusing-pusing sebagaimana peribahasa Inggeris “beats around the bush”. Laporan ScienceDaily (Jan. 21, 2005) berjudul “Intelligence In Men And Women Is A Gray And White Matter” mengatakan binaan otak wanita yang memang telah diprogramkan memiliki lebih “white matter” yang bertugas menghubungkaitkan sesuatu perkara dengan yang lain hingga menyebabkan mereka pakar menggunakan pendekatan ‘komunikasi-bahasa-tidak terus’ ini. Bercakap adalah asas perhubungan yang utama bagi wanita. Mereka menggunakan pendekatan ini untuk membina jambatan perhubungan dengan orang lain untuk mengelakkan konfrantasi secara terbuka, bersopan santun dan berbudi bahasa. Wanita memang suka menggunakan proses komunikasi cara ini untuk menyampaikan mesej terutama sekali kepada orang yang dia sayangi. Bagi mereka, jika orang yang dia sayangi ini memahami apa yang dia ungkapkan dengan tepat, maka orang itu dilabelkan sebagai seorang yang romantik.

Sebagai contoh kalau mereka berdua sedang menaiki kereta dalam perjalanan yang jauh dan isterinya berasa lapar. Pada masa itu mereka sedang melalui deretan kedai-kedai makan. Terdapat beberapa ungkapan yang tidak terus yang wanita gunakan untuk memberitahu suami yang mereka lapar. Mereka tidak sanggup mengungkapkan perkataan, “Abang saya lapar, berhenti di kedai makan depan itu sekarang”. Mereka akan menggunakan bahasa tidak terus seperti berikut, “Abang tak lapar ke?”. Atau, “Dulu kita pernah makan di kedai depan tu kan, sedap masakannya”. Atau, “Tomyam kedai di depan tu sedapkan Abang”. Dan banyak lagi ungkapan-ungkapan yang kebanyakan lelaki tidak faham. Maka suami yang romantik ialah apabila sahaja dia mendengar isyarat ini, dia telah tahu bahawa isterinya sedang lapar dan mahu makan. Tanpa bersoaljawab, dia terus sahaja membelokkan keretanya ke halaman deretan kedai makan dan mencari pakir yang dekat dengan restoren yang dia sebut tadi.

Namun kebanyakan lelaki tidak faham dengan bahasa-tidak-terus ini. Minda lelaki yang memiliki lebih sepuluh kali “grey matter” daripada wanita yang tugasnya hanya memproses maklumat, kurang dapat mengaitkan ungkapan atau ayat-ayat yang berlapik-lapik ini. Kefahamannya hanya bergantung kepada apa yang diucapkan. Dia tidak pandai untuk mentafsirkan apa yang tersirat daripada apa yang tersurat. Oleh itu, jika isterinya beri isyarat. “Abang tak lapar ke?”, Dia akan jawab, “Tak lapar” dan meneruskan pemanduannya. Kecewalah isteri ini dan suaminya ini akan dicopkan sebagai tidak romantik.

Berbalik kita kepada kisah yang mula-mula saya paparkan itu. Apabila isteri bertanyakan kepada suaminya, “Sedap ke char kue teow tu bang?”. Ini bermaksud, “Abang, saya nak rasa sikit char kue teow tu”. Dan sebaik-baiknya, tanpa soal jawab, suaminya itu terus menukar piring char kue teownya dengan mangkuk bihun sop isterinya. Selepas minum separuh, suami itu juga menukarkan gelas minuman milo aisnya dengan minum isterinya. Suami yang berbuat demikian dicopkan sebagai seorang yang romantik. Dia bukan hanya dipuji kerana memahami kehendak isterinya, malah isteri juga puas kerana dapat merasai dua jenis makanan dan minuman pada malam itu dengan harga yang dibayar oleh seorang mengikut perkiraan wanita.

Berikut saya paparkan sedikit daripada ungkapan bahasa-bahasa-tidak-terus yang boleh dijadikan panduan kepada suami jika dia terdengar isterinya.

1. Bila suami mengajak isterinya pergi ke sesuatu tempat dan isterinya menjawab, “Tengoklah”. Besar kemungkinan maksudnya dia tidak mahu pergi.

2. Bila suami isteri sedang berbincang untuk membeli atau memberikan sesuatu kepada isteri, tetapi dalam perbincangan itu timbul pelbagai masalah hingga isterinya seolah-olah mengalah, “Saya tak kisah”. Sebenarnya apa yang dia maksudkan itu ialah dia kisah dan mahu juga benda itu.

3. Bila suami pulang dari kerja dan sesampai di pintu, isterinya menegur suaminya, “Abang letih eh”. Bagi suami yang tidak faham, pasti akan menjawab apa yang dia rasai seperti, “Aa, letih”. Maka kecewalah isterinya itu kerana maksud sebenar ialah dia hendak mengajak suaminya keluar masa itu juga.

Mengapa orang lelaki tidak faham bahasa perempuan ini ialah kerana kebiasaannya orang lelaki berkomunikasi menggunakan ayat yang pendek, terus, tepat kepada maksudnya dan penuh dengan fakta. Lelaki dengan watak kepimpinan dan penguasaan sering menggunakan komunikasi ini untuk mendapatkan kuasa dan sokongan daripada orang lain. Di dalam perniagaan, cara komunikasi sebegini amat sesuai untuk membuat keputusan dan keberkesanan perundingan dengan cepat. Tetapi kalau cara ini digunakan untuk berkomunikasi dengan orang perempuan, ia dilihat sebagai kurang sopan dan tidak beradab.

Oleh itu nasihat saya kepada suami yang ingin memahami bahasa terbalik isterinya ialah,

1. Bila isterinya bersuara, cuba dengar betul-betul ungkapannya dan lihat juga air muka serta pandangan matanya. Pasti kita boleh memahami maksudnya sama ada terus atau terbalik melalui tonasi dan bahasa badannya.

2. Kalau suami masih merasai tidak faham maksudnya, cepatlah bertanya secara terus terang, “Apa maksud awak tadi?”.

3. Bila suami telah memahaminya, maka simpanlah ilmu dan kemahiran ini untuk digunapakai masa depan apabila diucapkan oleh isterinya nanti. Pastinya suami ini dilebelkan sebagai lelaki yang paling romantik.

4. Terimalah cara bahasa terbalik yang amat memeningkan kepala ini sebagai tanda isteri masih sayang kepada kita. Kebiasaannya, isteri tidak menggunakan kaedah ini kepada sesiapa sahaja yang dia tidak kenal melainkan kepada orang yang dia sayangi dan teman sejenisnya

Kepada isteri pula,

1. Sebelum anda menggunakan bahasa berbahasa ini kepada suami, sila lihat dulu keadaan suami anda. Jika dia dalam keadaan serius atau kelihatan letih atau mengalami stres, jangan gunakan lagi pendekatan ini. Dibimbangi, ketidakfahamannya nanti boleh menyebabkan jiwa panas barannya mengganas.

2. Kalau keadaan suami kelihatan ceria dan bersedia untuk bergurau senda, bolehlah anda bermanja-manja menggunakan bahasa terbalik berpusing-pusing ini untuk menagih kehendak dan keperluan anda. Kalau dia tidak faham juga, anda hendaklah dengan suara manja menerangkan maksud sebenar. Jangan mengharapkan dia faham sendiri kalau dia kelihatan tidak faham. Nanti anda juga yang kecewa.

Selamat mencuba.
Pak Utih

Masalah

“Masalah” satu perkataan yang amat tidak disenangi oleh manusia tetapi di dalam dunia ini tiada sesiapa pun yang akan terlepas daripada sebarang masalah. Sama ada masalah tersebut kecil atau besar, terpulanglah kepada setiap individu untuk menilainya. Maksudnya, satu masalah yang menimpa seseorang, mungkin amat berat bebanan yang dirasa bagi dirinya, namun sekiranya masalah yang sama menimpa individu lain, ia mungkin menjadi satu masalah yang ringan sahaja. Masalah juga melibatkan berbagai-bagai aspek, mungkin dari sudut kewangan, dari sudut kesihatan, rumahtangga dan lain-lain lagi.

Cumanya yang menjadi persoalan ialah tentang bagaimana cara untuk menangani masalah tersebut. Ketika menghadapi masalah, diri pasti akan menjadi tertekan dan manusia secara tidak langsung akan mencari-cari “sesuatu” yang akan mengurangkan tekanan tersebut.

Ketika ini, mereka berpeluang memilih dua jalan.

Pertama, Cubalah untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t dengan sedekatnya-dekatnnya dan hati pasti menjadi tenang kerana ia janji Allah s.w.t.

Kedua, bila mana hati menjadi resah kerana diselebungi masalah, mereka ada kala cuba untuk menenangkan diri dengan jalan mencari hiburan keduniaan. Dan yang pasti, pilihan kedua ini bukan sahaja tidak akan dapat mengurangkan tekanan masalah yang dihadapi, lebih daripada itu ia menambah lagi masalah yang lain…

Apa-apa pun, seperti kata-kata orang ramai, kehidupan mesti diteruskan. Cubalah untuk mendekatkan diri dengan Allah s.w.t dan sentiasalah berfikir cara-cara untuk menyelesaikan setiap masalah. Sedikit demi sedikit, jalannya pasti ditunjukkan oleh Allah s.wt. Tiada satu persoalan di dunia ini yang tiada jawapannya.

Perubahan

Cuaca sekarang memang tidak menentu. Adakala waktu tengahari cuacanya sangat panas terik, alih-alih disebelah petang hujan lebat. Begitu jugalah sebaliknya. Itu semua kuasa Allah s.w.t dan sebagai manusia biasa, kita sememangnya tidak mampu untuk menjangka dan menilai setiap aturannya.

Ianya boleh juga dikaitkan dengan kehidupan manusia. Hari ini kita bertemu dengan seseorang yang sangat susah dari sudut kewangan, alih-alih tahun hadapan kita melihat kehidupannya sangat mudah, dikurniakan rezeki yang luas oleh Allah s.w.t. Hari ini kita bertemu dengan manusia yang sangat teruk agamanya, alih-alih secara tiba-tiba dia boleh berubah menjadi seorang muslim yang hebat keimannya. Benar, ianya satu aturan daripada Allah s.w.t. yang tidak boleh dijangka oleh manusia…

Dalam konteks ini, beberapa pengajaran yang boleh diambil…

Sekiranya waktu sekarang kita berada di dalam “zon selesa” dari segi kewangan, cubalah untuk membantu apabila bantuan kita diperlukan oleh insan-insan lain dan jangan cuba untuk merasa tidak-tidak terhadap mereka kerana mana tahu satu hari nanti kita pun akan mengalami masalah kewangan yang menyebabkan kita terpaksa meminta daripada manusia lain dan apa perasaan kita ketika sekiranya permintaan kita dipandang sebelah mata oleh mereka.

Iye, sememangnya kita rasa mustahil untuk kita hidup susah pada hari-hari mendatang berdasarkan apa yang kita rancang pada hari ini. Tetapi perancangan kita tidak sehebat Allah s.w.t.

Untuk mereka yang sekarang berada di dalam kesusahan, cubalah untuk bersabar dan berusaha. Nilai rezeki itu bukan diukur dengan wang ringgit semata-mata. Mempunyai duit yang banyak tetapi di dalam masa yang sama asyik risau memikirkan wang tersebut akan habis setiap hari lebih rendah nilainya berbanding dengan seseorang yang tidak mempunyai duit yang banyak tetapi rezekinya tidak putus-putus setiap hari. Hari ini dibelanjakan kepada orang lain, alih-alih keesokan harinya ada lagi rezeki lain timbul yang datangnya adakala tiada di dalam perancangan kehidupan.

Kita merancang, Allah s.w.t juga merancang dan sebaik-baik perancang adalah Allah s.w.t. Teringat kata-kata daripada Tuan Guru hj. Hadi Awang yang lebih kurang berbunyi, kita semua ada dosa, yang maksum hanya para Rasul sahaja, saya pun ada dosa, tetapi yang paling penting adalah pengakhiran kita.

Pengakhiran kita yang menentukan kita dimana nanti…..

Ya Allah, jadikanlah pengakhiran kami sekeluarga sebagai satu pengakhiran yang baik dan janganlah jadikan akhir kami sebagai pengakhiran yang tidak baik..Amin…

Masa bersama anak-anak

Pada sebelah pagi, saya sibuk mengemas kereta yang dipenuhi dengan mainan anak-anak dan juga helaian-helaian tisu yang di”sepah”kan mereka. Belum pun sampai 24 jam, di sebelah petang, kereta telah dipenuhi semula dengan mainan-mainan mereka. Alahai, ini belum lagi menggunakan kereta yang bersaiz besar, mungkin keadaannya akan serupa juga sebegitu. Ada masa, saya berfikir, bilalah anak-anak ini akan membesar kerana rasa macam sudah tidak cukup tenaga untuk mengawal mereka, terutamanya si Afkaar yang tidak reti duduk diam bermain macam-macam yang adakala boleh mengancam keselamatannya. Berdiri di atas kerusi sambil mengoyangkan badan, meloncat-loncat di atas sofa, menarik-narik wayar unifi dan yang paling saya risau ialah dia cuba memasukkan jari ke dalam kipas yang sedang berpusing. Bukannya tidak pernah dimarah atau dipukul tangannya, tetapi semua itu tetap tidak diendahkan. Minit yang pertama tangannya dipukul, lima minit kemudiannya, dia kembali melakukan. Dan saya juga rasa macam sudah tidak cukup kesabaran daripada tidak memarahi anak-anak ketika mana mereka sentiasa melakukan perkara yang bukan-bukan terutamanya Khadiijah Wafi dan Aaminah. Bermain bersama sekejap kemudiannya bergaduh. Dilarang meloncat-loncat di atas sofa sebentar, kemudiannya mereka melakukan perkara bukan-bukan yang lain pula..

Namun, hakikatnya kita perlu sedar bahawa masa kita dengan anak-anak adalah sangat singkat. Dan masa tersebut akan menjadi lebih singkat beriringan dengan perkembangan kehidupan mereka. Apabila anak mencecah umur 4/5/6 tahun, mereka sudah mula belajar secara formal di peringkat sekolah, dan masa kita bersama mereka adalah disekitar 10 jam sahaja setiap hari apabila ditolak dengan waktu sekolah dan tidur. Apabila kehidupan mereka semakin berkembang, mungkin ada di kalangan anak-anak yang sudah mula memasuki asrama diperingkat sekolah menengah dan masa tersebut akan menjadi lebih singkat, mungkin dalam satu tahun kita hanya ada musim cuti sekolah sahaja untuk bersama mereka. Begitu juga apabila anak-anak sudah mulai belajar di peringkat Universiti, masa tersebut hanya muncul ketika cuti semester sahaja. Apabila anak-anak sudah mencapai peringkat dewasa, maka dalam setahun masa untuk kita bersama mereka hanyalah pada hujung minggu sahaja kerana mereka sudah terikat dengan komitmen kerja dan keluarga sendiri. Dan kadang-kadang dalam setahun itu pun belum tentu setiap hujung minggu mereka akan pulang ke rumah atas faktor jarak dan kewangan. Antara rela dan terpaksa, sedikit demi sedikit, kita akan tetap melaluinya.

Pada ketika itulah, baru kita akan merindui keadaan rumah yang bersepah apabila rumah kita sentiasa kemas dan bersih sahaja. Pada ketika itu juga kita akan merindui baju anak-anak yang comot tatkala mereka datang kepada kita dalam keadaan pakaian yang segak bergaya apabila masing-masing sudah bekerjaya bagus. Kita juga akan merindui keadaan mereka yang tidak reti duduk diam berlari sekeliling rumah tatkala melihat mereka kaku di dalam gambar sambil menanti kepulangan mereka pada musim cuti.

Apabila fikir, fikir dan berfikir, tidak mengapalah biarlah mereka tidak cepat membesar walaupun ada ketikanya saya tidak dapat menahan amarah atas setiap perlakuannya mereka..:)

Malam tadi saya telah menghantar isteri dan anak-anak ke TBS menaiki bas untuk pulang bercuti di kampung. Ketika bas mulai bergerak, Aaminah sudah mula menangis teresak-esak kesedihan meninggalkan saya dan ia benar-benar meruntun jiwa. Ianya satu bentuk pemergian sementara dan akan bertemu semula pada minggu hadapan dan saya cuba membayangkan sekiranya ianya satu bentuk pemergian hakiki yang tidak akan kembali lagi, bagaimanakah kita akan menghadapinya…….

080220132906

Tazkeerah

Alkisah seorang pakar mengumpat…

Shaharul seorang yang suka berkata-kata mengenai orang lain, di belakang orang lain.

Perkara yang ditumpukannya selalunya negatif.

Satu hari, beliau bertemu dengan Ustaz Kassim di sebuah warong.

Sebaik sahaja duduk, Shaharul mula berkata-kata mengenai jirannya, bosnya, isterinya dan juga sahabat-sahabatnya.

Ketika merungut dan bercakap buruk mengenai bosnya, Shaharul bertambah geram… semakin dicerita bagaimana bosnya tidak adil, semakin geram nada Shaharul.

Ustaz Kassim yang memerhatikan gelagat Shaharul bertanya:

“Apakah anta berasa gembira bila berkata buruk mengenai bos anta?” tanya Ustaz Kassim.

“Makin geram makin marah adalah – tapi boleh lepas geram,” kata Shaharul.

“Lepas geram, maksudnya lepas ini, tak berkata lagi mengenai bos anta?” tanya Ustaz Kassim.

“Tak… mengapa ustaz?” tanya Shaharul.

“Anta tengah meracun diri sendiri, tapi anta tak sedar,” kata Ustaz Kassim.

Shaharul terdiam. “Aku tengah meracun sendiri?” bisik dia di hati. “Bagaimana tu ustaz?”

“Selain bernafas tanpa sedar, tahukah anta bahawa ada lagi satu aktiviti badan yang kita lakukan tanpa sedar tetapi kita merasainya,” tanya Ustaz Kassim.

Shaharul menggelengkan kepala.

“Iaitu menelan air liur. Tapi pernahkah terfikir, apakah fungsi air liur yang dicipta Allah selain yang kita pelajari untuk menghadamkan makanan?” tanya Ustaz Kassim lagi.

Shaharul berfikir sejenak… “Payah betul soalan ustaz. Mohon pencerahan.”

“Air liur adalah salah satu makhluk Allah yang sentiasa keluar dari rongga tanpa disedari oleh manusia. Ia terdiri dari pelbagai bentuk molekul yang akan berubah sebagaimana air lain. Bilamana kebaikan yang diterima, didengar, dilihat, dibaca atau disentuh,maka molekul air akan berubah membentuk nilai yang baik, demikian sebaliknya.

Maka setiap orang sebenarnya membentuk perlakuan berdasarkan air liur yang ditelannya,” terang Ustaz Kassim.

“Jadi maksudnya….?” Kata Shaharul yang semakin berminat.

“Sedarkah kita bahawa apabila kita melihat benda lazat, kita menelan air liur, apabila kita bercakap kita menelan air liur, apabila kita mendengar sesuatu dengan khusyuk, kita menelan air liur, ketika kita mengumpat, kita menelan air liur dan pelbagai aktiviti lain, termasuk ketika anta (yang membaca) mendengar penjelasan ana ini? Dah berapa kali telan air liur sejak ana mula bercakap?” tanya Ustaz Kassim.

“Tak perasan pula. Rasanya banyak. Masa ustaz cakap, air liur terasa banyak terhasil… hmmm… mengapa ya?” tanya Shaharul lagi.

“Mengapakah Allah membuatkan manusia sedemikian? Apa fungsi air liur sebenarnya?
Ungkapan bahawa ‘air liur penjaga kehidupan manusia’ sememangnya ada asas. Apabila kita makan, air liurlah menjadi benteng pertama badan manusia.

Apabila kita membaca al-Quran, bercakap benda baik, melihat benda baik, mendengar benda yang baik dan melakukan benda yang baik – air liur berubah menjadi bentuk yang baik, dan apabila ditelan tanpa disedari, nescaya perasaan dan emosi kita terus berubah menjadi riang, yakin dan seronok.

Renungkanlah mengapa apabila kita melakukan kebaikan, badan kita berasa riang dan seronok? Bagaimana pula ketika kita melakukan dosa? Adakah kita berasa seronok selepas itu atau gusar?

Ramai yang tidak sedar, bahawa air liur yang ditelan secara tidak sedar tersebut juga mempunyai peranan yang penting untuk menentukan emosi dan pemikiran kita,” terang Ustaz Kassim.

Shaharul terpegun… “Jadi maksudnya kalau kita berkata tidak baik, maka emosi kita tak akan baik?” tanya beliau.

“Ya. Setiap kali kita mengumpat, kita akan melahirkan rasa yang lebih buruk sangka pada seseorang. Bukan sahaja orang yang mengumpat, tapi orang yang mendengar umpatan tersebut pun terkena. Ini kerana semasa mengumpat, molekul air liur kita berubah bentuk ke nilai yang tak baik, dan makin kita mengumpat, makin banyak air liur jenis ini ditelan.

Begitu juga, dengan orang yang mendengar. Makin mendengar, makin khusyuk pada umpatan, makin banyak air liur jenis yang tidak baik terhasil, dan ditelan tanpa disedari. Sekiranya orang yang mendengar menyampuk dan sertai sama perbualan tersebut, maka lebih teruklah air liur yang ditelannya.

Akhirnya, orang yang mengumpat telah menyebarkan racun buruk sangka pada seseorang kepada orang lain kerana air liur yang ditelan tersebut,” tambah Ustaz Kassim lagi.

“Jadi sebab itu, ustaz hentikan perbualan ana tadi? Ustaz biarkan ana bercakap tanpa menyampuk?” tanya Shaharul.

“(Gelak dan senyum)… ya tak ya… petuanya mudah kalau tak nak kena air liur beracun – jauhilah mengumpat, dan jauhilah orang yang mengumpat. Perisai untuk menjauhi mengumpat, ialah dengan senyuman dan jangan sampuk perbualan orang yang sedang mengumpat,” kata Ustaz Kassim.

“Hebat ustaz… mana ustaz dapat teori ini?” tanya Shaharul…

“Buku Senyumlah tulisan seorang sahabat karib,” jawab Ustaz Kassim.

Senyum.

-Dato’ Tuan Ibrahim bin Tuan Man

_____________________________
Nota: Hari ini Birthday mak sayang dan anak saudara Qistina Aleeya.
Semoga sentiasa dirahmati dan dilindungi oleh Allah swt 🙂

Motivasi

Motivasi yang sungguh baik.

Masa ibarat sungai yang mengalir, kita tidak boleh menyentuh air yang sama dua kali.

-Najibah Mustaffa

Dato’ Tuan Ibrahim bin Tuan Man (Official):

“Malam ini pendek saja.

Bayangkan kita mempunyai sebuah akaun yang memberikan kita RM86,400 setiap subuh.

Tapi akaun ini tidak membawa baki ke hari esok. Apa yang tidak dapat dihabiskan hari ini, akan dihapuskan pada waktu malam.

Apa yang kita akan buat?

Sudah tentu kita akan mengeluarkan setiap sen daripada akaun tersebut tiap-tiap hari sebelum malam.

Betul tak?

………
………
………

Sebenarnya Allah telah memberikan setiap kita, satu akaun bank yang sebegitu.

Akaun itu bernama ‘MASA’.

Setiap subuh, Allah memberikan kita 86,400 saat untuk digunakan.

Pada setiap malam, masa yang tidak dilaburkan untuk perkara berfaedah akan dilupuskan setiap malam.

Ia tidak berbaki. Ia tidak berhutang.

Apa yang hilang, adalah kehilangan pada kita sendiri kerana tidak melaburkan hadiah yang diberikan Allah tiap-tiap hari dengan baik.

Kita tidak boleh mengambil kembali masa yang hilang. Kita juga tidak boleh meminjam masa daripada hari ‘esok’.

Duit (Masa) yang ada hari ini perlu dihabiskan dalam hari ini. Oleh itu, laburlah pada perkara-perkara yang memberikan kesihatan, kegembiraan dan kejayaan.

Jam tengah berjalan. Gunalah sebaiknya anugerah Allah itu.

Senyum 🙂

_________________________

Nota: Berbekas di hati.. Semoga masa yang ada sebelum ajal, dimanfaatkan dengan amalan kebajikan. Amin

Berjasa

Baru semalam saya memuji si kancil yang sangat bagus untuk kegunaan di bandar terutama pada waktu-waktu puncak, boleh menyelit-nyelit di dalam kesesakan lalu lintas. Alih-alih sebelah petangnya, si kancil ini meragam lagi. Kali ini, gear satu dan gear dua pula tidak boleh digunakan. Tengah-tengah sesak tiada duit sekarang, boleh pula dia buat hal. Namun, tidak boleh salahkan si kancil ini memandangkan usianya pun sudah melebihi 10 tahun, sekiranya ia “minta duit” pun, terpaksa jugalah dilayankan.

Begitu juga dengan diri manusia, bila mana usia semakin meningkat, maka sedikit demi sedikit, keupayaan juga semakin menurun sama ada dari sudut fizikal mahupun pemikiran. Saya sering mengingatkan diri, ketika usia bolehlah dikatakan masih “muda” ini, cubalah untuk membuat jasa sebanyak yang mungkin, apabila datang seseorang mahupun saudara meminta bantuan, cubalah untuk memberi pertolongan. Mudah-mudahan, seperti si kancil, walaupun ianya semakin uzur, tetapi saya tidak sampai hati untuk menjualnya kerana ia terlalu banyak berjasa kepada keluarga kami, begitu juga dengan diri sendiri, suatu hari nanti bila mana kita sudah uzur kita akan terus disayangi kerana jasa-jasa kita semasa muda.

Walaubagaimanapun, itu bukanlah matlamat kehidupan kita yang sebenar. Matlamat kita tentulah untuk sentiasa mendapat keredhaan Allah s.w.t, Pencipta yang sentiasa berada di samping kita sejak dari kita kecil sehinggalah ke saat ini. Semoga segalanya dipermudahkan. Amin.

Bersyukur Saat Diuji

Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim…

Penulisan beliau sangat menyentuh qalbu, tergiang-giang selalu..
Bukan semua penulis buku boleh menyentuh emosi dan perasaan dalam jangka masa yang lama seterusnya cuba untuk aplikasikan dalam kehidupan harian..

Jujurnya, ketika dalam kesusahan ingatan lebih terarah untuk meminta-minta pertolongan daripada Allah swt agar kesusahan tersebut ‘hilang’ daripada membelengu diri. Memang sifat semulajadi manusia begitu yang mempercayai kewujudan Tuhan yang berkuasa sama ada mereka muslim atau kafir. Masing-masing manusia ada ciri kebergantungan kepada ‘satu kuasa agung’ yang boleh disandarkan harapan dan hajat mereka…

Begitu juga dengan aku yang tidak lepas dan masih mencari ‘arah’ sebelum mata terpejam rapat. Bila susah, mulalah mencari ‘kuasa agung’ tersebut, agak-agak senang, mulalah alpa. Sifat sedemikian ‘seolah-olah’ mempermainkan Allah. Bak orang kata “bila susah, mulalah nak mencari aku, dah senang, batang hidung pun tak nampak!”

Begitu juga dalam kehidupan aku, bila mana teman baik anje ketika sekolah rendah, yang sudah bertahun-tahun tidak berhubung, tiba-tiba menghubunginya. Anje yang ingatan agak lemah dalam mengingati nama sahabatnya, puas berfikir siapakah si polan tersebut. Jarak masa kenangan yang lama membuatkan ianya jadi sukar namun tidak mustahil boleh dingati.

Si polan tersebut ajak berjumpa untuk bersembang, bila helmet hilang dicuri, dalam kepayahannya yang tidak berduit-sebab volunteer nak kurangkan tenaga buruh- maka anje yang baik hati ini membelikan helmet baru-dan si polan ini cakap dia akan bayar kemudian. Begitulah hari-hari anje seterusnya.. Selalu kawannya ini ajak berjumpa dan ngeteh.

Kesulitan lain yang dihadapi oleh si polan ini, bila mana, motor berkuasa besar rosak setelah mengambil isterinya balik dari tempat kerja di Subang Jaya, maka yang dicarinya adalah anje untuk meminta tolong. Kami menolong semampunya. Ke Taman Dato’ Harun membelikan bateri yang harganya rm150. Dia juga berjanji untuk membayarnya. Rm150 bagi mereka yang mengganggur jumlahnya agak besar, tapi kami faham akan kesulitan tersebut dan percaya sebulatnya Allah akan ganti balik duit tersebut dengan kelapangan rezeki yang tidak pernah putus. Janji Allah itu benar!

Itulah anje dan kawannya berhubung, seterusnya kawannya hilang tanpa dapat dihubungi. No telefon yang ada hanya masuk peti simpan suara. Bukan mahu meminta hutang, cuma bertanya khabar. Sememangnya, anje agak berat meminta hutang, jika orang yang berhutang itu ‘tahu’ dia berhutang, pandai-pandailah nak bayar. Jika sebaliknya, anje hanya mendiamkan diri-segan katanya.

Itu memang sifat yang ada pada manusia. Begitu juga dengan aku tetapi ianya tidak berlaku pada kawan kerana aku sayang pada kawan-kawanku dan sebolehnya tak nak berhutang dengan kawan -ia menimbulkan rasa kurang enak jika tidak dapat dilunasi dengan cepat hutang tersebut.

Apa yang aku maksudkan, hubungan dengan Allah tidak kosisten. Apabila ditimpa masalah, maka Allah tempat aku bergantung harap. Mulalah tahajjud malam, solat hajat meminta-minta tanpa malu-tak malu sebab Dia lah tempat meminta. Cuma terasa pukulan kecil selepas baca Buku Bersyukur Saat Diuji. Keinginan diri yang tidak mahu ‘mengingati’ Allah semasa susah sahaja. Aku mahu ianya berterusan hingga nafas terhenti-mati!

Fikir-renung, memang senang dan mudah. Buat? Huh, payah. Laksana? Pergh, malas.
Itulah aku, nak sangat jadi hamba Allah yang soleh dan musleh.. Nak sangat jadi hamba yang khusyu’ kerana solat itu adalah amatlah berat kecuali bagi orang-orang yang khusyu’.

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan bersabar dan mengerjakan solat. Sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali bagi orang-orang yang khusyu’ ;
(Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya.

::: al-Baqarah ayat 45-46 :::

Ayat ini, menyentuh hati.. Ya, nak itu.. nak ini… Mintalah dengan sabar dan solat. Bukan sabar yang selalu orang perkatakan.. Tetapi sabar untuk kosisten dalam solat. Bukan juga hanya solat lima waktu-itu wajib tak boleh tinggal sampai mati. Tetapi solat sunat sepertiga malam yang aku malas dan tidak istiqamah dalam melaksanakannya. Maka, nak solat sepertiga malam tu pun, kena juga meminta-minta dengan Allah. Sebab apa? Sebabnya nak ikut kederat aku ni memang malas dan banyak alasan-mengantuk,penat, malas, esok pun boleh lagi (macam tahu je, esok boleh bernafas lagi!).

Buku Tarbiah Rohanilah boleh bagi momentum sementelah aku baca dari seorang prof. Dr yang kembali ke pangkal jalan. Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman. Ia mencuit hati kecil. Mengalir air mata.. Ya, perubahan itu sangat sukar. Apabila dah berubah, nak kekalkan bukan juga senang. Semuanya perlukan pertolongan Allah. Doa yang berterusan agar terus konsisten dan istiqamah.

Hari ini, disepertiga malam.. Aku sujud meminta-minta agar aku diberikan rasa khusyu’ dalam solat. Meminta-minta pada sang Rabb agar aku adalah hamba-Nya yang terpilih untuk terus istiqamah disepertiga malam.. Meminta-minta dengan jiwa yang rendah agar kami masuk ke Syurga-Nya tanpa hisab.. Meminta-minta, agar jiwa kami tenang dalam menghadapi ujian yang mendatang.

Sungguh, aku takut ujian itu tidak dapat diatasi dengan jayanya… Apatah lagi, aku mengatakan aku beriman tetapi tidak diuji keimanannya.. Mustahil! Begitu juga, apabila aku meminta-minta pada Allah untuk istiqamah dalam sepertiga malam, aku pasti aku akan diuji. Allah, wahai Tuhanku.. Bantulah hamba-Mu ini..

Kadang-kadang, aku jadi baik.. Kadang jadi sebaliknya.. Entahlah, sukar nak menduga sikap sebenar aku.. Apabila membaca terjemahan al-Quran, rasa insaf.. Apabila membaca tulisan prof. Dr. momentum iman melonjak kembali.. Sampai bilalah nak jadi begitu? Takut tak sempat bertaubat sebelum ajal.. 😦

__________________________________

ya Allah, ya Rabbul Jalil..
Pada-Mu aku sembah, pada-Mu aku meminta pertolongan..

ya Allah, Kau ampuni aku..
Jika aku bersifat menunjuk-nunjuk,
Maka sia-sialah sepertiga malamku..
Sia-sialah tadabbur Quranku..
Sungguh, Engkau yang mengetahui apa yang terkandung dalam isi hatiku..
Peliharalah kami dari azab Neraka-Mu..
Amin.

__________________________________
Nota:
Lebih bersemangat apabila anjeku juga bersama.
Anje,
Kita berpegang erat untuk ke Jannah-Nya.
Saling sokong-ingat-berpaut
Sebelum ajal datang menjemput kita..
Amin 🙂

Post Navigation